KUCHING, 28 Nov: Kerusi Padungan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Pusat penamaan calon bagi DUN Padungan yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kuching dibuka pada jam 8 pagi, dengan penyokong ketiga-tiga parti mula hadir bagi memberikan sokongan kepada calon masing-masing.
Calon GPS, Wung Duk Ying yang pertama kali bertanding pada PRU DUN Sarawak Ke-13, tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 8.42 pagi dengan diiringi sejumlah besar ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching serta penyokongnya.
Rombongan berkenaan turut mengibarkan bendera GPS sambil membawa sepanduk bertulis “Sokong Premier Abang Jo, Demi Kehidupan Rakyat yang Lebih Baik”.
Wung berjaya menyelesaikan proses penamaan calon dengan pencalonannya dicadangkan oleh Bong Lian Huan dan disokong Ying Tnai Hing.
Persaingan tiga penjuru itu turut menyaksikan Michael Kong Feng Nian mewakili DAP, manakala Cchan Cheng Kiat bertanding atas tiket PBK.
Berdasarkan data banci penduduk yang diterbitkan pada 2020, kawasan DUN Padungan mempunyai seramai 14,179 penduduk, dengan masyarakat Cina merangkumi 59 peratus, manakala Bumiputera sebanyak 39.6 peratus.
Sementara itu, berdasarkan data pemilih terkini, DUN Padungan mempunyai seramai 24,106 pengundi berdaftar, termasuk 23,855 pengundi biasa.
Pada pilihan raya negeri lalu, kerusi DUN Padungan dimenangi Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.
Bagaimanapun, keputusan Chong untuk beralih ke DUN Kota Sentosa pada pilihan raya kali ini menyaksikan pembantu khasnya, Michael Kong Feng Nian, diberi mandat untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Perubahan wakil DAP serta kemunculan Wung sebagai muka baharu GPS menjadikan persaingan kali ini tumpuan baharu di Padungan, dengan PBK turut mencabar bagi merebut mandat pengundi.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122
Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment
Telegram: @tvsarawak
TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment
X: @tvsarawak
YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment
WhatsApp: TVS
Back