PETALING JAYA - Pemergian Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr. A. Samad Said disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan dan kebudayaan tanah air.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sumbangan serta perjuangan Allahyarham dalam memartabatkan bahasa dan sastera negara akan terus dikenang meskipun beliau telah pergi buat selama-lamanya.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fahmi menyifatkan Allahyarham atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad, sebagai tokoh yang sepanjang hayatnya banyak menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan negara.
Menurutnya, perjuangan Pak Samad bukan sekadar melalui penulisan, malah turut merakamkan denyut nadi kehidupan, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa menerusi karya-karya beliau.
Antara karya agung Allahyarham yang terus menjadi khazanah sastera negara ialah Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi.
Fahmi berkata, karya-karya berkenaan mengangkat kisah kehidupan manusia, kepayahan, perjuangan serta realiti masyarakat yang akan terus dibaca, dihayati dan dikenang oleh generasi akan datang.
Beliau turut berharap agar karya-karya peninggalan Pak Samad terus dibaca dan dijadikan sumber inspirasi, sekali gus memastikan pemikiran serta legasi sasterawan itu terus hidup dalam ingatan masyarakat.
Dalam pada itu, Fahmi turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham.
Beliau mendoakan agar segala dosa Allahyarham diampunkan, segala amal kebajikannya diterima serta rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back