PETALING JAYA - Teka-teki mengenai pengendali baharu Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila Bojan Hodak dilaporkan dipilih untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan, menggantikan Peter Cklamovski yang meninggalkan pasukan pada Jun lalu.
Menurut sumber, jurulatih kelahiran Croatia itu menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas melalui proses pemilihan yang dijalankan badan induk berkenaan.
Pelantikan itu dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan FAM Kali Kedua bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung hari ini.
Bagaimanapun, pengumuman rasmi mengenai pelantikan Hodak masih belum dibuat.
"Pengumuman rasmi kena tunggu dulu. Tapi memang Hodak dilantik," kata sumber ketika ditemui hari ini.
Pelantikan itu menyaksikan Hodak, 55, bakal menjadi jurulatih ke-45 Harimau Malaya sejak pasukan kebangsaan dibentuk pada 1956, selain pengendali import ke-20 dalam sejarah skuad negara.
Sebelum ini, jawatan ketua jurulatih negara ditinggalkan Cklamovski pada Jun lalu sebelum Tan Cheng Hoe diberikan tanggungjawab sebagai pengendali interim sementara FAM mencari pengganti tetap.
Hodak bukan nama asing dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah mengendalikan beberapa pasukan termasuk Kelantan, Johor Darul Ta'zim (JDT), Kuala Lumpur City FC serta skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19).
Sepanjang bersama Kelantan, beliau berjaya menghadiahkan kejuaraan Liga Super 2012, Piala FA 2012 dan 2013 serta Piala Malaysia 2012.
Beliau kemudian meneruskan kejayaan bersama JDT dengan membantu kelab itu menjulang kejuaraan Liga Super 2014 dan Piala Sumbangsih 2015.
Sentuhan Hodak turut menyaksikan KL City mencipta sejarah apabila muncul juara Piala Malaysia 2021, selain mara ke final Piala AFC 2022 dan final Piala FA 2023.
Di peringkat pembangunan pula, beliau membuktikan kemampuan apabila membimbing skuad B-19 negara menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2018.
Terbaharu, Hodak mencipta kejayaan bersama kelab Indonesia, Persib Bandung apabila membantu pasukan itu meraih kejuaraan liga tiga musim berturut-turut, iaitu 2023/2024, 2024/2025 dan 2025/2026.
Beliau kemudian beralih ke peranan penasihat teknikal kelab berkenaan pada Mei lalu.
Berbekalkan pengalaman luas dalam bola sepak tempatan dan antarabangsa serta pemahaman mendalam terhadap landskap bola sepak Malaysia, Hodak kini berdepan cabaran besar untuk memperkukuh Harimau Malaya bagi menghadapi kempen antarabangsa akan datang.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back