TORONTO - Pengendali Croatia, Zlatko Dalic, dan jurulatih Portugal, Roberto Martinez, memberikan penghormatan kepada Luka Modric selepas pemain tengah berusia 40 tahun itu dipercayai mengharungi penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.
Modric dilihat berbual mesra dengan kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, sejurus Croatia tewas 1-2 kepada Portugal di Toronto. Pertemuan dua ikon bola sepak itu mencuri perhatian apabila kedua-duanya kini berada di penghujung karier antarabangsa masing-masing.
Dalic mengakui sukar menerima kemungkinan aksi berkenaan menjadi penampilan terakhir Modric di Piala Dunia.
"Ini mungkin Piala Dunia terakhirnya, dan saya kesal ia berakhir begini. Dia telah menunjukkan kualiti dan karakter, malah terus memimpin Croatia sehingga ke penghujung," katanya.
Sementara itu, Martinez menyifatkan Modric sebagai pemain luar biasa yang meninggalkan impak besar kepada dunia bola sepak.
"Dia memberi inspirasi kepada jutaan kanak-kanak di seluruh dunia. Contohnya akan kekal dalam sejarah bola sepak selama-lamanya," katanya.
Menurut Martinez, kekuatan utama Modric terletak pada keupayaannya mengawal rentak permainan serta membuat keputusan tepat dalam setiap situasi.
"Bukan selalu kita melihat pemain yang mampu mengawal bola dan membuat keputusan yang betul. Modric adalah contoh terbaik. Dia mencari ruang, mengubah tempo permainan mengikut keadaan dan bermain seolah-olah masih muda," katanya lagi.
Modric menjadi watak penting dalam kejayaan Croatia muncul naib juara Piala Dunia 2018 sebelum menamatkan kempen di tempat ketiga pada edisi Qatar 2022.
Dalam perlawanan menentang Portugal, Modric dan Ronaldo, yang pernah menjulang empat gelaran Liga Juara-Juara ketika bersama Real Madrid, terus memainkan peranan penting walaupun kedua-duanya berdepan cabaran faktor usia.
Dalic turut menyifatkan Modric sebagai antara pemain paling berpengaruh buat Croatia dalam aksi itu. Pemain tengah AC Milan berkenaan kini telah mengumpul 200 penampilan antarabangsa bersama negaranya.
Sebelum ini, Modric turut diraikan rakan sepasukan selepas membantu Croatia mencatat kemenangan ke atas Panama dalam aksi peringkat kumpulan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back