KUCHING, 18 Jun – Beberapa jalan di sekitar Tebingan Kuching (Waterfront) akan ditutup sementara sempena penganjuran Program ‘Niti Daun’ sempena Sambutan Gawai Peringkat Sarawak 2026.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga anak Chabu, penutupan jalan akan dilaksanakan pada 19 Jun 2026 dari 12.00 tengah hari hingga 6.00 petang, serta pada 20 Jun 2026 dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran perjalanan program serta mengawal aliran trafik di kawasan terlibat sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan penutupan jalan di beberapa lokasi yang telah ditetapkan bagi menjamin keselamatan peserta dan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, orang ramai yang bercadang untuk menghadiri program tersebut dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan serta merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900.
Program ‘Niti Daun’ merupakan antara acara utama dalam Sambutan Gawai Peringkat Sarawak 2026 yang dijangka menarik kehadiran ramai pengunjung di kawasan Tebingan Kuching.
Sumber: PDRM Kuching
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back