SANTA CLARA - Skuad Australia tidak terkesan dengan pandangan luar menjelang pertembungan berprofil tinggi menentang tuan rumah bersama, Amerika Syarikat (AS), dalam aksi Kumpulan D pada Sabtu ini.
Pembantu jurulatih Australia, Hayden Foxe, berkata pemain Socceroos cukup matang untuk menangani perhatian media dan kritikan yang timbul selepas kemenangan mereka dalam aksi pembukaan kejohanan.
Australia hadir dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Turkiye 2-0, manakala AS turut mempamerkan prestasi meyakinkan apabila membelasah Paraguay 4-1.
Menjelang perlawanan itu, beberapa pengulas bola sepak AS dilaporkan memandang rendah kemampuan Australia. Bekas pertahanan AS, Alexi Lalas, malah menyifatkan Socceroos sebagai pasukan “biasa” dalam kejohanan yang disertai 48 negara.
Namun, Foxe menegaskan pemainnya tidak memerlukan perlindungan daripada kritikan atau komen di media sosial.
“Pemain sudah cukup dewasa untuk memahami apa yang diperkatakan mengenai mereka. Fokus kami adalah kepada prestasi pasukan, bukan pandangan luar,” katanya.
Australia memulakan kempen dengan cemerlang apabila mengejutkan Turkiye menerusi jaringan Nestory Irankunda dan Connor Metcalfe.
Irankunda mengakui kenyataan kapten Turkiye, Hakan Calhanoglu, yang mendakwa pasukannya lebih berbakat berbanding Australia telah membakar semangat pemain Socceroos.
“Ada pemain yang berasa marah dengan kenyataan itu, tetapi kami tidak terlalu memikirkannya. Apa yang penting adalah apa yang berlaku di atas padang,” katanya.
Sementara itu, Metcalfe yakin skuad kendalian Tony Popovic akan turun menentang AS dengan semangat dan keyakinan tinggi.
Dalam masa sama, Foxe mengingatkan pemain agar tidak terlalu selesa dengan kemenangan ke atas Turkiye.
Beliau mencontohkan kejutan yang dilakukan Arab Saudi ke atas Argentina pada Piala Dunia 2022 sebelum gagal melepasi peringkat kumpulan.
“Kemenangan ke atas Turkiye memang sesuatu yang hebat, tetapi itu sudah berlalu. Kini fokus kami sepenuhnya tertumpu kepada perlawanan menentang AS,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back