LIVERPOOL, 31 Mei – Legenda Liverpool, Steven Gerrard menyifatkan keputusan kelab menamatkan khidmat Arne Slot sebagai langkah yang tepat selepas prestasi pasukan menunjukkan kemerosotan sejak penghujung musim lalu.
Liverpool mengesahkan perpisahan dengan pengendali dari Belanda itu selepas dua musim mengendalikan pasukan, meskipun beliau berjaya menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris ke-20 kepada The Reds pada musim pertamanya di Anfield.
Bagaimanapun, prestasi Liverpool musim ini dilihat tidak konsisten apabila mereka sekadar berjaya mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai hala tuju pasukan di bawah Slot.
Menurut Gerrard, corak permainan Liverpool sejak penghujung musim lalu tidak lagi mencerminkan identiti sebenar kelab tersebut.
“Sepanjang 10 perlawanan terakhir musim lalu dan sebahagian besar musim ini, kami tidak kelihatan seperti Liverpool.
“Ia sukar untuk ditonton kerana pasukan nampak tidak tersusun dan seolah-olah kehilangan identiti. Apabila dinilai secara menyeluruh, mungkin ini masa yang sesuai untuk melakukan perubahan,” katanya.
Bekas kapten Liverpool itu turut menjelaskan beliau tidak terkejut dengan tindakan pengurusan yang mula mencari pengendali baharu kerana struktur pentadbiran kelab sentiasa membuat perancangan lebih awal.
Gerrard berkata penghujung musim merupakan tempoh paling ideal untuk melantik jurulatih baharu kerana mereka mempunyai masa mencukupi untuk menjalani pra-musim dan mengenal pasti pemain yang diperlukan bagi memperkukuh skuad.
Dalam perkembangan sama, Gerrard mencadangkan nama Andoni Iraola sebagai antara calon yang layak dipertimbangkan selepas kejayaannya membimbing AFC Bournemouth mempamerkan prestasi memberangsangkan.
“Iraola melakukan tugas yang hebat di Bournemouth dan gaya permainannya sesuai dengan Liverpool. Namun, Liverpool adalah antara jawatan paling menarik dalam bola sepak, jadi sudah tentu ramai pengendali elit turut berada dalam senarai calon,” katanya.
Beliau turut mengaitkan hubungan baik Iraola dengan Richard Hughes, yang pernah membawa jurulatih Sepanyol itu ke Bournemouth pada 2023.
Mengulas pencapaian Slot, Gerrard tetap memberikan penghargaan terhadap sumbangan bekas pengendali Liverpool itu yang berjaya mengharungi cabaran besar menggantikan Jürgen Klopp serta menghadiahkan gelaran Liga Perdana Inggeris kepada kelab berkenaan.
Menurutnya, kejayaan tersebut memastikan nama Slot akan terus dikenang dalam sejarah Liverpool meskipun tempoh perkhidmatannya berakhir lebih awal daripada jangkaan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back