MUNICH - Bintang sayap Paris Saint-Germain (PSG), Khvicha Kvaratskhelia menegaskan pasukannya kini memberi tumpuan penuh kepada final Liga Juara-Juara selepas berjaya menyingkirkan FC Bayern Munich pada aksi separuh akhir awal pagi tadi.
PSG mengesahkan tiket ke final selepas seri 1-1 pada aksi timbal balik kedua di Munich, sekali gus mara dengan agregat 6-5. Juara Perancis itu bakal berdepan Arsenal F.C. di final yang dijadual berlangsung di Budapest pada 30 Mei ini.
Menurut Kvaratskhelia, pertemuan menentang Bayern merupakan ujian paling getir yang dihadapi PSG sepanjang musim ini.
“Kami sangat gembira dapat mara ke final. Kami tahu perlawanan menentang Arsenal nanti juga akan menjadi cabaran besar.
“Bayern adalah antara pasukan terbaik dunia ketika ini dan ini adalah perlawanan paling sukar buat kami musim ini,” katanya kepada Canal Plus.
Beliau turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti PSG kini mampu bersaing dengan kelab elit Eropah.
“Kami sudah membuktikan bahawa kami mampu bermain dan bersaing dengan pasukan seperti ini,” katanya lagi.
PSG bermula cemerlang apabila Ousmane Dembélé membuka jaringan seawal minit ketiga hasil gerakan Kvaratskhelia.
Selepas gol awal itu, PSG lebih banyak mengawal permainan sambil sesekali mengancam menerusi serangan balas pantas.
Harry Kane berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi gol ke-55 musim ini, namun jaringan itu hadir terlalu lewat untuk membantu Bayern mengubah keputusan perlawanan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back