Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, masih belum membuat keputusan muktamad mengenai hasrat memburu penampilan terakhir di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Atlet berusia 38 tahun yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu menjelaskan, beberapa faktor utama perlu dipertimbangkan terlebih dahulu terutama aspek pemulihan fizikal, sokongan keluarga serta keperluan kepada sistem sains sukan yang mantap.
Bercakap selepas aksi cemerlang di Piala Dunia Trek di Nilai, Azizulhasni menegaskan keputusan untuk terus bersaing di pentas tertinggi dunia bukan hanya melibatkan dirinya, tetapi juga pengorbanan besar daripada keluarga.
“Kalau nak teruskan kerjaya, memang banyak pengorbanan yang perlu dibuat. Bahagian itu kena tanya isteri saya sebab dia yang banyak berkorban di belakang tabir.
“Saya juga sangat rapat dengan anak-anak, jadi semua itu perlu diambil kira sebelum buat keputusan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyuarakan hasrat untuk bergerak secara lebih profesional tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan. Menurutnya, sokongan kewangan yang stabil melalui penaja serta pasukan sains sukan yang kukuh adalah antara syarat penting jika mahu kekal kompetitif hingga LA28.
“Kalau boleh saya tak mahu terlalu mengharapkan KBS atau MSN semata-mata. Saya mahu bergerak secara profesional dan kena berbincang dengan penaja juga.
“Pada usia sekarang, pemulihan memang sangat penting. Sebab itu kalau nak ke LA28, saya perlukan pasukan sains sukan yang benar-benar solid,” jelasnya.
Azizulhasni turut mengakui cabaran terbesar ketika ini adalah aspek pemulihan, memandangkan tubuhnya memerlukan masa lebih panjang untuk kembali ke tahap optimum selepas menjalani latihan dan perlumbaan intensif.
Keputusan sama ada beliau akan meneruskan misi ke Olimpik LA28 dijangka hanya dibuat selepas semua faktor tersebut dipertimbangkan secara menyeluruh.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back