LONDON – Kedudukan Manchester United terus menjadi perhatian apabila pengurus interim mereka, Michael Carrick, dilaporkan mula kehilangan sokongan pihak pengurusan susulan kekalahan 1-2 kepada Leeds United di Old Trafford, Isnin lalu.
Walaupun Carrick mencatat tujuh kemenangan daripada 11 perlawanan sejak mengambil alih tugas, keputusan menentang Leeds dianggap tamparan besar. Kekalahan itu hadir ketika United amat memerlukan mata penuh untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan ke Liga Juara-Juara musim depan.
Situasi tersebut dilihat menjejaskan peluang Carrick untuk dilantik sebagai pengurus tetap menjelang musim baharu, apabila pihak pengurusan masih belum yakin dengan keupayaannya memimpin pasukan dalam jangka panjang.
Dalam perkembangan sama, United kini dikatakan sedang menilai beberapa calon berprofil tinggi. Jurulatih Paris Saint-Germain, Luis Enrique, dilaporkan berada di kedudukan teratas senarai pendek kelab itu.
Selain itu, nama pengendali Jerman, Julian Nagelsmann, yang kini bersama Jerman, turut disebut sebagai calon utama, khususnya selepas beliau dijangka kembali ke arena kelab selepas Piala Dunia.
Beberapa lagi pengurus turut berada dalam radar United termasuk Unai Emery (Aston Villa), Oliver Glasner (Crystal Palace) dan Andoni Iraola (Bournemouth).
Malah, dua pengendali pasukan kebangsaan turut dikaitkan sebelum ini, iaitu Thomas Tuchel yang kini bersama England serta Carlo Ancelotti yang membimbing Brazil.
Dengan tekanan semakin memuncak, keputusan mengenai siapa yang bakal mengemudi United musim depan kini menjadi persoalan besar dalam kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back