RIYADH – Cristiano Ronaldo terus mencuri tumpuan dunia bola sepak, bukan sahaja bersama kelabnya Al-Nassr FC, malah melalui pelaburannya dalam kelab Sepanyol, UD Almería yang kini semakin hampir kembali ke La Liga.
Bintang Portugal itu sedang menikmati antara musim terbaiknya di Arab Saudi apabila membantu Al-Nassr mara ke final AFC Champions League Two (ACL2) serta mendahului carta Saudi Pro League.
Dalam masa sama, kejayaan itu turut dirasai Almeria kelab yang dimilikinya sebanyak 25 peratus menerusi CR7 Sports Investments. Pasukan tersebut kini berada di tangga kedua divisyen dua Sepanyol dengan 67 mata, hanya dua mata di belakang pendahulu Real Racing Club.
Kemenangan 4-2 ke atas Granada CF baru-baru ini mengukuhkan peluang Almeria untuk meraih kenaikan ke La Liga, dengan hanya lima perlawanan berbaki.
Di Asia, Al-Nassr pula semakin hampir menghadiahkan trofi pertama buat Ronaldo sejak tiba di Arab Saudi. Mereka mengesahkan tempat ke final ACL2 selepas membelasah Al-Ahli SC dari Qatar 5-1.
Kini, Ronaldo hanya selangkah lagi untuk menjulang kejuaraan benua itu jika berjaya menewaskan Gamba Osaka di pentas final.
Selain itu, Al-Nassr juga berada di kedudukan terbaik untuk menjuarai Liga Pro Saudi apabila mendahului liga dengan 76 mata, dengan lima perlawanan lagi untuk mengesahkan kejuaraan.
Walaupun terlepas peluang memenangi piala domestik musim ini termasuk tersingkir daripada King Cup dan tewas dalam Saudi Super Cup Ronaldo masih berpeluang menamatkan musim dengan dua trofi utama.
Sekiranya berjaya menjulang ACL2, menjuarai liga, dan pada masa sama Almeria mengesahkan kenaikan ke La Liga, musim ini bakal dikenang sebagai antara pencapaian paling gemilang dalam kariernya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back