Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, mencuri tumpuan apabila mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat di tempat ke-13, awal pagi semalam.
Memulakan saingan dari petak ke-25 selepas terlibat kemalangan pada sesi kelayakan, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu tidak membiarkan insiden berkenaan menjejaskan fokusnya di Litar Circuit of The Americas (COTA).
Anak kelahiran Terengganu itu menunjukkan tunggangan agresif sejak awal perlumbaan apabila berjaya memintas tujuh pelumba dalam tempoh tiga pusingan pertama, sekali gus kembali bersaing dalam kelompok pertengahan.
Walaupun berdepan cabaran mengurus tayar lembut serta kesan fizikal akibat kemalangan sehari sebelumnya, Hakim Danish kekal konsisten memintas pelumba di hadapan untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 dan mengutip tiga mata berharga.
Keputusan tersebut menyaksikan beliau kini berada di tangga ke-14 keseluruhan dengan sembilan mata selepas tiga pusingan musim ini.
Mengulas prestasinya, Hakim Danish mengakui perlumbaan di Austin cukup mencabar dan menuntut fokus tinggi di setiap selekoh bagi mencari peluang memintas.
“Saya juga bergelut dengan tayar lembut dan hampir terjatuh pada baki lima pusingan terakhir. Pengalaman ini akan dijadikan pengajaran untuk memperbaiki prestasi, khususnya dalam sesi kelayakan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, memuji semangat juang dipamerkan pelumba muda itu, sambil menyifatkan aksi di Austin sebagai cabaran teknikal besar buat seorang rookie.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back