MANCHESTER - Bekas penyerang Manchester United, Michael Owen berpandangan Michael Carrick merupakan calon paling sesuai untuk mengemudi pasukan sehingga akhir musim, berbanding pilihan lain yang ada ketika ini.
Menurut Owen, United berdepan kesukaran untuk mendapatkan pengurus baharu dalam tempoh singkat, namun pengalaman Carrick sebagai pengurus sementara sebelum ini membuktikan keupayaannya mengendalikan tekanan di Old Trafford. Carrick pernah memegang peranan tersebut selepas pemecatan Ole Gunnar Solskjaer pada hujung 2021.
“Saya melihat banyak pilihan tetapi tiada yang benar-benar menonjol. Michael Carrick mungkin boleh dipertimbangkan, sekurang-kurangnya sehingga tamat musim,” kata Owen.
Beliau turut menyenaraikan beberapa pengurus Liga Perdana Inggeris lain yang berpotensi, namun mengakui situasi mereka masih terikat dengan kelab masing-masing.
“Marco Silva (Fulham), Andoni Iraola (Bournemouth) dan Oliver Glasner (Crystal Palace) antara nama yang boleh dipertimbangkan, tetapi ia pasti lebih rumit kerana mereka masih mempunyai kontrak.
“Dari luar England, Roberto De Zerbi mempunyai reputasi yang baik, begitu juga Mauricio Pochettino, namun saya tidak fikir dia akan meninggalkan skuad kebangsaan Amerika Syarikat menjelang Piala Dunia,” katanya.
Sebelum ini, Ruben Amorim menjadi pengurus tetap ketujuh yang disingkirkan oleh pihak pengurusan United sejak era Sir Alex Ferguson, selepas mengeluarkan kenyataan pedas susulan keputusan seri 1-1 menentang Leeds United.
Buat sementara waktu, United melantik seorang lagi bekas pemainnya, Darren Fletcher sebagai pengurus interim. Fletcher memulakan tugasnya dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Burnley di Turf Moor awal pagi tadi.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back