MIAMI, Amerika Syarikat - Bintang MLS, Lionel Messi, mendedahkan hasratnya untuk mengikut jejak langkah David Beckham dengan menjadi pemilik kelab bola sepak selepas bersara, bukannya beralih ke dunia kejurulatihan.
Messi, 38, yang akan kekal bersama Inter Miami hingga 2028, berkata fasa kedua kariernya lebih menjurus kepada pemilikan kelab dan pembangunan akar umbi. Menurut pemenang Ballon d’Or lapan kali itu, peranan membina kelab dari bawah jauh lebih menarik baginya.
“Saya tidak nampak diri saya sebagai jurulatih,” kata Messi dalam temu bual bersama saluran penstriman Argentina, Luzu TV.
“Saya mahu memiliki kelab sendiri, membangunkannya dari peringkat awal dan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berkembang serta mencapai sesuatu yang besar.”
Legenda Argentina itu memainkan peranan penting membantu Inter Miami menjulang Piala MLS pertama kelab berkenaan tahun lalu. Melalui kontraknya, Messi turut memiliki kepentingan minoriti dalam kelab tersebut.
Pada Mei lalu, Messi juga terlibat dalam projek baharu bersama bekas rakan sepasukan di Barcelona dan MLS, Luis Suarez, dengan pelancaran kelab divisyen keempat Uruguay, Deportivo LSM. Kelab itu berpusat di tanah air Suarez dan menumpukan pembangunan bakat muda.
“Menjadi sebahagian daripada projek ini adalah satu penghormatan,” kata Messi ketika itu. “Saya berharap dapat menyumbang sebaik mungkin untuk membantu membesarkan kelab ini.”
Inter Miami dijadual membuka kempen MLS 2026 pada 21 Februari dengan perlawanan menentang Los Angeles FC.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back