Penyanyi terkenal antarabangsa, Billie Eilish bersama abangnya, Finneas, tampil dalam sebuah video kempen terbaharu anjuran Together for Palestine yang menyeru dihentikan segera keganasan serta pertumpahan darah di Gaza.
Video berkenaan dilancarkan beberapa jam sebelum berlangsungnya konsert amal Together for Palestine yang diketuai oleh pemuzik Brian Eno di OVO Arena Wembley, London pada Rabu (17 September). Antara figura terkenal lain yang turut serta ialah pelakon Cillian Murphy, Javier Bardem, Brian Cox, Joaquin Phoenix dan beberapa artis antarabangsa lain. Mereka sepakat menyeru para pemimpin dunia mengambil tindakan terhadap operasi ketenteraan Israel ke atas Hamas, yang sejak dua tahun lalu telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin serta menyebabkan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal dan berdepan kebuluran.
Pelancaran video ini turut berlangsung sehari selepas Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan bahawa Israel didapati melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin. Dakwaan tersebut bagaimanapun ditolak oleh Kementerian Luar Israel yang menyifatkan laporan itu sebagai “palsu dan berat sebelah.”
Dalam video berkenaan, Billie Eilish dan Finneas muncul sambil tersenyum serta menyebut, “Together for Palestine.” Sementara itu, Brian Cox dengan nada tegas menegaskan, “Kita mesti menyatakan kebenaran bagi pihak rakyat Palestin.”
Konsert amal yang dianjurkan oleh Eno itu bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan sepenuhnya kepada pertubuhan Palestin yang beroperasi di Gaza. Antara artis yang akan membuat persembahan ialah Bastille, Damon Albarn, Paloma Faith, James Blake, Rachel Chinouriri serta ramai lagi. Turut dijangka hadir ialah Benedict Cumberbatch, Florence Pugh, Jameela Jamil, Louis Theroux, PinkPantheress dan beberapa selebriti lain bagi menggalakkan sumbangan.
Billie Eilish sebelum ini pernah menyuarakan pendiriannya mengenai isu Gaza. Pada Anugerah Oscar 2024, beliau mengenakan pin “Artists for Ceasefire” sebagai tanda solidariti, selain mengkritik rancangan Israel untuk memindahkan jutaan rakyat Palestin secara paksa, yang disifatkannya sebagai “satu tindakan mengerikan.”
Sumber: Billboard
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini