RIYADH, 20 Julai – Putera Arab Saudi, Al-Waleed bin Khalid Al-Saud, yang pernah digelar sebagai "Putera Beradu" kerana keadaannya yang koma selama hampir dua dekad, telah meninggal dunia pada usia 36 tahun.
Berita pemergian Almarhum disahkan oleh ayahandanya, Putera Khalid bin Talal, menerusi satu hantaran di platform media sosial X.
"Dengan penuh keimanan terhadap takdir Allah SWT dan hati yang berat, kami mengumumkan kemangkatan anakanda kami tercinta, Putera Al-Waleed bin Khalid. Semoga Allah merahmatinya," tulis Putera Khalid.
Putera Al-Waleed mengalami kecederaan parah dan pendarahan otak ketika berusia 15 tahun selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa menuntut di sebuah kolej ketenteraan di London pada tahun 2005.
Sejak itu, beliau dirawat di King Abdulaziz Medical City di Riyadh, namun keadaannya kekal tidak berubah meskipun menerima rawatan intensif daripada pakar-pakar perubatan dari dalam dan luar negara.
Putera Al-Waleed menjadi simbol harapan bagi ramai rakyat Arab Saudi yang mengikuti perkembangan kesihatannya selama bertahun-tahun.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini