MUKAH, 28 Julai 2025 - Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar pada jam 8.00 pagi ini menunjukkan kawasan Mukah mencatatkan paras pencemaran udara tidak sihat dengan bacaan IPU 154.
Mukah merupakan satu-satunya kawasan di Sarawak yang berada dalam kategori tidak sihat, manakala semua kawasan lain mencatatkan bacaan sederhana atau baik. Antara kawasan yang mencatat bacaan sederhana termasuklah Kuching dan Bintulu (75), Miri (70), Sibu (62), Sarikei (67), dan Samalaju (79).
Beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan IPU sederhana seperti Sri Aman dan Samarahan (57), Tebedu (72), serta ILP Miri (78). Sementara itu, dua kawasan mencatatkan bacaan IPU yang baik, iaitu Lubok Antu (48) dan Bario (50).
Menurut garis panduan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik dan tidak memberi kesan buruk terhadap kesihatan. Bacaan antara 51 hingga 100 pula adalah sederhana, manakala bacaan 101 hingga 200 dianggap tidak sihat dan boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi seperti penghidap penyakit jantung dan paru-paru.
Sehubungan itu, penduduk Mukah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar, manakala golongan berisiko tinggi digalakkan memakai pelitup muka dan mengambil langkah berjaga-jaga. Orang ramai juga disaran untuk sentiasa mengikuti perkembangan IPU terkini melalui saluran rasmi.
Sumber: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini

WHAT’S HOT

28 July 2025 | 10:50 AM