Pelakon veteran Lan Zailan, 66, yang menghidap kanser pankreas tahap empat, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pada jam 4.24 pagi tadi, di sisi isteri dan anak-anak.
Berita sedih itu dikongsi isteri Allahyarham Lan, iaitu Ruby Sara Omar, 51.
Sebelum ini, Ruby memberitahu keadaan suaminya kritikal selepas kembali dimasukkan ke PPUM, Ahad lalu. Sehari sebelum itu, arwah Lan dibenarkan pulang, tetapi, dikejarkan semula ke unit kecemasan zon merah pusat perubatan itu, pada sebelah malam.
Ruby berkata, bacaan oksigen suaminya baik, namun, keadaannya agak teruk hingga doktor meminta semua anggota keluarga berkumpul dan berada di sisi arwah. Doktor memberitahu, virus kanser aktif sudah masuk ke paru-paru kiri arwah suami, sekali gus boleh mengakibatkan pelbagai kemungkinan.
Ruby berkata, arwah suami sempat menunggu salah seorang anak yang datang dari Muar, Johor untuk bertemu buat kali terakhir. Bacaan oksigen yang menurun, tiba-tiba meningkat, membolehkan arwah berinteraksi bersama anak-anak hingga detik terakhir.
Ruby berkata, suaminya meminta disampaikan ucapan terima kasih kepada peminat dan semua teman seperjuangan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini