Thailand menyambut kedatangan 32.7 juta pelancong antarabangsa antara 1 Januari dan 8 Disember 2024, menghasilkan kira-kira 1.535 trilion baht dalam pendapatan pelancongan, menurut Menteri Pelancongan dan Sukan Sorawong Thianthong.
Beliau berkata, sepanjang 2 hingga 8 Disember, negara itu mencatatkan 699,129 ketibaan pelancong antarabangsa dengan purata 99,876 pengunjung setiap hari.
Walaupun ia menunjukkan penurunan sedikit iaitu sebanyak 1.03 peratus berbanding minggu sebelumnya, lonjakan ketibaan pelancong Malaysia membantu mengimbangi penurunan dari pasaran lain.
Ketibaan pelancong Malaysia melonjak sebanyak 24.58 peratus kepada 79,386, didorong oleh keadaan perjalanan yang semakin baik selepas banjir baru-baru ini di Daerah Hat Yai dan tiga wilayah sempadan selatan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat, menurutnya dalam satu kenyataan.
Setakat 9 Dis, China kekal sebagai pasaran sumber pelancong terbesar Thailand, dengan 6.3 juta pengunjung, diikuti Malaysia (4.6 juta), India (1.96 juta), Korea Selatan (1.72 juta) dan Rusia (1.55 juta).
Menurut Sorawong lagi, pemulihan kukuh pasaran jarak pendek, terutamanya dari Malaysia yang bersempadan, mencerminkan keberkesanan usaha pemulihan pelancongan yang sedang dijalankan.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini