Kemahiran juruterbang pesawat penumpang Malaysia Airlines melaksanakan teknik pendaratan 'crabbing' bagi membawa penumpang dengan selamat ke Lapangan Terbang Heathrow menerima pujian meluas atas kemahirannya.
Dalam video pendaratan itu, juruterbang dilihat menggunakan teknik 'crabbing' bagi mengekalkan kawalan pesawat, walaupun menghadapi tiupan angin kencang akibat ribut Darragh.
Ribut itu membawa angin berkelajuan sehingga 155 kilometer sejam (km/j) ke selatan England, termasuk di Heathrow, lapangan terbang paling sibuk di United kingdom (UK), yang memaksa banyak pesawat mencuba beberapa kali sebelum berjaya mendarat.
Dalam detik-detik pendaratan, hidung pesawat kelihatan membelok tajam ke sisi ketika juruterbang berusaha mengawal pesawat daripada tiupan angin.
Pesawat itu mendarat dengan kedua-dua roda belakang menyentuh landasan terlebih dahulu, manakala hidung pesawat berada pada sudut hampir 45 darjah sebelum melantun sedikit dan kemudian diluruskan dengan sempurna.
Bagi sesetengah pemerhati, sudut pendaratan itu membuatkan ia 'seolah-olah barisan ke 40 di Kelas Ekonomi yang mendarat dahulu'. Ramai memuji kemahiran juruterbang Malaysia Airlines atas kejayaan mencipta sudut 'crab' yang sangat mengagumkan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini