Pencalonan Kebaya yang berjaya tersenarai dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Unesco adalah satu pencapaian yang perlu diraikan, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Edwin Tong. Pencalonan ini adalah pencalonan bersama oleh lima negara Asia Tenggara.
Tong yang juga Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan Singapura untuk Unesco, menambah bahawa pengiktirafan Kebaya menonjolkan kepentingan budaya dan mempromosikan perpaduan merentas budaya di Singapura dan rantau ini.
Pencalonan multinasional ini adalah yang pertama bagi Singapura dan yang terbesar di Asia Tenggara setakat ini, dari segi bilangan negara pencalonan, membabitkan usaha kerjasama antara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.
Pencalonan ini memenuhi semua lima kriteria penilaian yang digunakan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) pada sesi ke-19 yang diadakan di Asuncion, Paraguay.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kebudayaan Thailand Sudawan Wangsuphakijkosol menyambut baik pengiktirafan Kebaya dan menyatakan bahawa Malaysia memulakan pencalonan itu pada awal 2022, menyelaraskan dengan Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand untuk menyediakan dokumen yang diperlukan dengan input daripada komuniti masing-masing.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini