Gempa bumi dengan magnitud 4.1 menggegarkan utara Sydney, di New South Wales (NSW), Australia, menyebabkan bekalan elektrik terputus membabitkan beribu-ribu hartanah.
Geosains Australia merekodkan gempa itu berlaku kira-kira 12:15 tengah hari waktu tempatan berhampiran lombong arang batu terbuka BHP di wilayah Upper Hunter di NSW, kira-kira 170 kilometer di utara Sydney.
Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan tetapi lebih 2,000 hartanah terputus bekalan elektrik.
Menurut laman web pemantauan Geoscience Australia, gegaran itu berlaku pada kedalaman tiga kilometer (km).
Lebih 350 orang dilaporkan merasai gempa bumi terbabit dengan lebih 50 gegaran dilaporkan di Upper Hunter, kawasan perlombongan arang batu utama, sejak gempa bumi berukuran 4.7 magnitud pada 23 Ogos lalu.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini