KUCHING, 28 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencatat kemenangan tanpa bertanding di 29 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13, sekali gus merekodkan jumlah tertinggi dalam sejarah pilihan raya negeri setakat ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah berkenaan mengatasi rekod terdahulu pada 1996 apabila 19 kerusi dimenangi tanpa pertandingan.
“Berdasarkan kepada kiraan kita, jumlah 29 kerusi yang terlibat melibatkan lebih kurang 30.21% daripada total 2.058 juta pengundi berdaftar di negeri Sarawak.
“Jadi seramai 632,149 pengundi tidak perlu untuk turun mengundi sebab kawasan tersebut telah menang tanpa bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas proses penamaan calon PRU DUN Sarawak Ke-13 di Kuching, hari ini.
Menurut Ramlan, kemenangan tanpa bertanding merupakan sebahagian daripada proses demokrasi, manakala SPR bertanggungjawab memastikan perjalanan pilihan raya dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
Sementara itu, sebanyak 168 calon disahkan bertanding bagi baki 53 kerusi selepas SPR menerima dan meluluskan kesemua kertas penamaan calon yang dikemukakan di 82 pusat penamaan calon di seluruh Sarawak.
GPS meletakkan 82 calon, diikuti Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) sebanyak 29 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) 17 calon, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 14 calon, Parti Bangsa Malaysia (PBM) tiga calon, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak seorang calon dan 22 calon Bebas.
Ramlan turut memaklumkan tiada kertas penamaan calon ditolak sepanjang proses berkenaan.
Dari segi pola pertandingan, sebanyak 29 kerusi menyaksikan persaingan dua penjuru, 15 kerusi tiga penjuru dan sembilan kerusi empat penjuru.
Daripada keseluruhan calon yang bertanding, 154 merupakan lelaki manakala 14 lagi wanita.
Calon tertua ialah John Antau anak Linggang daripada PBDS yang bertanding di DUN N.39 Krian pada usia 78 tahun, manakala calon termuda ialah Airin Wong Li Ting daripada DAP yang bertanding di DUN N.54 Pelawan pada usia 24 tahun.
Tempoh berkempen bagi 53 kerusi yang dipertandingkan bermula selepas pengisytiharan rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 11 Disember 2026.
SPR turut menasihatkan pengundi di 29 kawasan yang menyaksikan kemenangan tanpa bertanding supaya menyemak status kawasan masing-masing menerusi saluran rasmi SPR, termasuk aplikasi MySPR, bagi mengelakkan kekeliruan pada hari pengundian.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122
Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment
Telegram: @tvsarawak
TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment
X: @tvsarawak
YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment
WhatsApp: TVS
Back