LAS VEGAS - Pemandu McLaren, Lando Norris, memilih pelumba Mercedes, George Russell, sebagai individu paling sesuai membawa watak ejen perisik terkenal Britain, James Bond, sekiranya peluang itu diberikan kepada mana-mana pelumba Formula Satu (F1).
Norris berkata, penampilan Russell yang sering tampil kemas dengan mengenakan sut selain imejnya yang elegan menjadikan pelumba itu pilihan paling tepat untuk menghidupkan watak ikonik berkenaan.
Ketika ditanya mengenai pelumba F1 yang paling sesuai memainkan watak James Bond, Norris tanpa teragak-agak menyebut nama Russell menjelang Grand Prix Las Vegas.
"George. Maksud saya, dia biasanya memakai sut dan sebagainya. Saya rasa George sanggup meninggalkan Formula Satu untuk menjadi James Bond.
"Saya fikir dia paling sesuai membawa watak itu, malah dia juga mungkin mahu melakukannya. Jadi, pilihan saya ialah George," katanya kepada pemberita.
Pada Isnin lalu, pelakon Britain, Robert Pattinson diumumkan sebagai individu seterusnya yang bakal menggalas watak James Bond, sekali gus menyertai senarai pelakon yang pernah membawa watak ikonik itu.
Russell yang sering dianggap antara pelumba paling bergaya dalam kalangan pemandu F1 mengakui terkejut dengan pujian yang diberikan pesaingnya itu.
"Saya terkejut mendengar Lando mengatakan sesuatu yang baik mengenai saya. Itu satu perkara yang menarik," katanya sambil ketawa.
Bagaimanapun, pelumba yang menggunakan nombor 63 itu berkata, watak James Bond sememangnya mempunyai tempat istimewa dalam minat peribadinya sejak sekian lama.
"James Bond sentiasa menjadi filem kegemaran saya. Saya suka watak itu.
"Namun, seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya akan terus menggunakan identiti 0063 untuk beberapa tahun lagi sebelum melihat ke mana hala tuju kerjaya saya. Mungkin selepas bersara nanti," katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back