• Home
  • Programme
  • Charts
  • Trending
  • Community
  • Media
  • Podcast
Listen Now
Back

WHAT’S HOT

Hitam Dan Merah Warnai Bukit Jalil Di Kala Peminat MCR Mengimbau Zaman Remaja
20 November 2026 | 01:11 PM

Hitam Dan Merah Warnai Bukit Jalil Di Kala Peminat MCR Mengimbau Zaman Remaja

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) - Gema sorakan menggegarkan Stadium Nasional TM, Bukit Jalil di sini malam tadi apabila kumpulan rock Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), kembali ke pentas Malaysia selepas 19 tahun, mengubat kerinduan peminat yang menunggu untuk mendengar lagu-lagu yang pernah mewarnai zaman remaja mereka.

Bagi kebanyakan penonton yang memenuhi stadium; sebahagian besarnya masih remaja ketika kumpulan empat ahli itu membuat persembahan di Stadium Merdeka pada Disember 2007; malam pembukaan konsert dua hari di Kuala Lumpur menerusi jelajah The Black Parade 2026 itu seolah-olah membawa mereka kembali ke satu fasa penting dalam kehidupan.

Keterujaan dirasai sejak di luar stadium ketika peminat menunggu pintu dibuka pada 4.30 petang, dengan orang ramai beransur-ansur memenuhi kawasan legar untuk menikmati suasana serta mengagumi pakaian yang mengimbau era emo kumpulan itu pada pertengahan 2000-an.

Menggayakan penampilan ikonik kumpulan itu, peminat membanjiri kawasan stadium dengan busana serba hitam berkonsepkan emo dan gotik. Tidak kurang juga yang mengenakan pakaian seragam pancaragam The Black Parade yang direka khas, selain gaun hitam dan merah dramatik sebagai memperingati watak ikonik dalam video muzik MCR, Helena.

Walaupun penganjur, Live Nation Malaysia sebelum ini mengeluarkan nasihat supaya peminat tidak beratur sepanjang malam serta menetapkan peraturan kemasukan yang ketat, suasana di luar stadium kekal meriah dan tersusun apabila penonton beratur dengan sabar untuk melalui pemeriksaan keselamatan, mood itu berterusan di dalam stadium  apabila kumpulan rap-rock tempatan Pop Shuvit membuka pentas sekitar 7.15 malam untuk memanaskan suasana.

Kemunculan Pop Shuvit, yang pernah menjadi artis pembuka tirai konsert sulung MCR di Malaysia 19 tahun lalu, mencipta detik istimewa seolah-olah melengkapkan satu kitaran, sekali gus menyemarakkan malam yang sarat dengan sejarah muzik yang dikongsi bersama.

Apabila vokalis utama Gerard Way dan ahli kumpulannya - Ray Toro, Frank Iero dan Mikey Way - muncul di pentas sejurus selepas 8.30 malam, stadium bergema dengan sorakan gemuruh mengiringi persembahan MCR yang pantas membawa penonton menyelami dunia teatrikal album rock opera ikonik mereka The Black Parade yang diterbitkan pada 2006.

Dengan sokongan produksi pentas yang mengagumkan serta paparan visual dramatik, kumpulan itu mempersembahkan keseluruhan album konsep berkenaan dari awal hingga akhir, dimulakan dengan lagu The End., Dead!, This Is How I Disappear dan The Sharpest Lives.

Alunan piano pembukaan Welcome to the Black Parade mencetuskan nyanyian beramai-ramai di seluruh stadium apabila peminat di kawasan berdiri dan tempat duduk bertingkat menyanyikan lagu itu bersama-sama, menghasilkan lautan suara yang bergema.

Suasana semakin menyentuh emosi menerusi lagu-lagu bernada perlahan dan introspektif seperti I Don't Love You dan Cancer. Ribuan cahaya daripada telefon bimbit menerangi stadium terbuka itu ketika peminat, yang kebanyakannya kini berusia lewat 20-an hingga 40-an, menyanyikan setiap bait lagu bersama-sama dengan Way.

Selepas membawakan versi panjang Mama dan Disenchanted, selain persembahan bertenaga menerusi Teenagers, Famous Last Words dan Blood bagi mengakhiri segmen album itu, kumpulan berkenaan beralih kepada set kedua yang menghimpunkan lagu kegemaran peminat daripada pelbagai album mereka.

Lagu-lagu rancak seperti Give 'Em Hell, Kid, Na Na Na, Our Lady of Sorrows, Sing, Bury Me in Black dan Ambulance terus membakar semangat penonton hingga larut malam.

Sorakan paling gemuruh bagaimanapun memuncak menjelang penghujung konsert menerusi lagu Cemetery Drive, Helena dan I'm Not Okay (I Promise).

MCR kemudian menutup tirai persembahan malam pertama dengan lagu Demolition Lovers yang jarang dipersembahkan, membuatkan ramai penonton dalam keadaan jelas tersentuh ketika alunan terakhir lagu bergema di seluruh stadium.

Ketika lampu stadium kembali menyala dan penonton beransur-ansur menuju Stesen LRT Bukit Jalil, dengan perkhidmatan rel dilanjutkan oleh Rapid KL, di wajah masing-masing jelas terpancar kepuasan selepas melalui pengalaman muzik yang begitu bermakna.

Persinggahan dua malam MCR di Kuala Lumpur itu menyaksikan sebanyak 120,000 tiket habis dijual dalam tempoh 90 minit ketika jualan awal dibuka, sebelum tempat duduk tambahan ditawarkan pada Oktober. Konsert berkenaan menyusuli persembahan kumpulan itu yang juga habis dijual di Singapura awal bulan ini.

MCR akan kembali ke Stadium Nasional TM malam ini untuk persembahan kedua dan terakhir bagi siri konsert mereka di Malaysia sebelum menamatkan jelajah Asia Tenggara di Jakarta pada 22 Nov.

Sumber: BERNAMA

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini 

DOWNLOAD OUR FREE APP NOW!

  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!

GET CONNECTED WITH US

I would love to receive more updates from Cats FM!

THE COMPANY

  • About Us
  • Advertise With US
  • Career With Us
  • Contact Us
  • General T & C

STATION

  • Programs
  • Contest
  • CATS Rangers

TRENDING

  • What’s Hot?
  • Artist of the month

CHARTS

  • CATS 30
  • CATS Prebiu
  • Lagu Tebilang CATS

MEDIA

  • Photo Gallery
  • Video Gallery
  • Podcast

COMMUNITY

  • Waktu Solat
  • CATS Activity

© Cats FM 2026

Social Media :

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter / X
  • TikTok