EL ARISH - Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton, mengadakan lawatan ke El Arish, Mesir, hari ini bagi meninjau usaha pengumpulan dan penyelarasan bantuan kemanusiaan untuk disalurkan kepada penduduk di Semenanjung Gaza.
Pentadbiran Wilayah Sinai Utara menerusi satu kenyataan di Facebook memaklumkan, lawatan itu turut merangkumi tinjauan ke pintu sempadan Rafah serta gudang penyimpanan bantuan milik Bulan Sabit Merah Mesir di El Arish.
Pemandu Britain berusia 41 tahun itu turut diberikan taklimat mengenai proses penyediaan, pengumpulan dan penyelarasan bekalan bantuan sebelum dihantar ke Semenanjung Gaza.
Hamilton sememangnya dikenali sebagai antara atlet yang aktif menyokong pelbagai inisiatif kemanusiaan dan kebajikan, khususnya melibatkan golongan muda serta komuniti yang memerlukan bantuan.
Pada 2021, beliau menubuhkan badan amal Mission 44 bagi membantu golongan muda, selain memperluaskan akses kepada pendidikan dan peluang pekerjaan.
Pemandu Ferrari itu juga konsisten menyuarakan sokongan terhadap pelbagai usaha kemanusiaan, termasuk bantuan kepada masyarakat yang terjejas akibat konflik.
Dalam perkembangan lain, Hamilton kini menduduki tangga keempat kejuaraan pemandu F1 musim ini, yang menyaksikan pelumba Mercedes dari Itali, Kimi Antonelli, sudah mengesahkan gelaran juara dunia ketika saingan berbaki tiga perlumbaan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back