LONDON - Bintang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo, mengungguli senarai pemain bola sepak berpendapatan tertinggi dunia dengan anggaran pendapatan £225 juta (RM1.22 bilion) semusim, hampir dua kali ganda berbanding pencabar utamanya, Lionel Messi.
Menurut senarai Forbes, Ronaldo memperoleh kira-kira £187 juta (RM1.02 bilion) menerusi kontraknya bersama kelab Arab Saudi itu, manakala baki £37 juta (RM201 juta) disumbangkan oleh urusan komersial dan penajaan.
Pendapatan tersebut bersamaan kira-kira £488,000 (RM2.66 juta) sehari, sekali gus meletakkan pemain Portugal itu jauh di hadapan pesaing lain.
Messi yang kini menyarung jersi Inter Miami dalam saingan Major League Soccer (MLS) berada di tangga kedua dengan pendapatan sekitar £108 juta (RM589 juta) setahun. Daripada jumlah itu, kira-kira £52 juta (RM283 juta) diperoleh menerusi kontrak bersama kelab berkenaan, manakala £56 juta (RM305 juta) lagi hasil urusan komersial.
Ronaldo dan Messi, yang mendominasi persaingan pemain terbaik dunia selama lebih sedekad, menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan £706 juta (RM3.85 bilion) pendapatan gabungan 10 pemain paling lumayan itu.
Bintang Real Madrid, Kylian Mbappe, menduduki tempat ketiga dengan pendapatan sekitar £75 juta (RM409 juta) setahun, diikuti penyerang Manchester City, Erling Haaland, di tangga keempat dengan £64 juta (RM349 juta).
Haaland meraih sebahagian daripada pendapatannya menerusi kerjasama komersial dengan jenama seperti Revolut dan Nike.
Seorang lagi pemain Real Madrid, Vinicius Jr, melengkapkan kelompok lima teratas dengan pendapatan sekitar £56 juta (RM305 juta) setahun, termasuk hasil kontrak baharunya bersama kelab gergasi Sepanyol itu.
Pemain muda Barcelona, Lamine Yamal, berada di tangga keenam dengan anggaran pendapatan £41 juta (RM223 juta) setahun, didorong kontrak lumayan bersama kelab Catalan berkenaan serta kerjasama komersial dengan jenama fesyen American Eagle.
Yamal diikuti penyerang Al-Nassr, Sadio Mane, yang mengumpul kira-kira £40 juta (RM218 juta) setahun.
Bintang England dan Real Madrid, Jude Bellingham, pula menduduki tangga kelapan dengan pendapatan sekitar £34 juta (RM185 juta), termasuk hasil kerjasama dengan Adidas, Louis Vuitton dan Skims.
Sementara itu, kapten England yang juga penyerang Bayern Munich, Harry Kane, buat pertama kali memasuki kelompok 10 pemain berpendapatan tertinggi dunia apabila berada di tangga kesembilan dengan pendapatan sekitar £32 juta (RM174 juta) setahun.
Pendapatannya merangkumi kontrak bersama kelab Jerman itu serta kerjasama komersial dengan jenama seperti Skechers dan Google Gemini.
Penyerang Mesir, Mohamed Salah, melengkapkan senarai 10 teratas dengan anggaran pendapatan £30 juta (RM163 juta) setahun selepas meninggalkan Liverpool pada musim panas lalu.
Kemasukan Bellingham dan Kane turut menyaksikan England mempunyai dua wakil dalam kelompok 10 teratas buat kali pertama sejak Wayne Rooney dan David Beckham pada 2013.
Bagaimanapun, bekas penyerang Real Madrid, Karim Benzema, tidak tersenarai selepas menamatkan kontraknya bersama Al-Hilal. Pemain veteran itu dilaporkan memperoleh £78 juta (RM425 juta) pada musim lalu sebelum berstatus ejen bebas.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back