LONDON - Pengurus Brighton & Hove Albion, Fabian Huerzeler membuktikan keupayaannya apabila membimbing pasukan itu melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah seteru tradisi, Crystal Palace 5-0, awal pagi tadi.
Kejayaan itu cukup bermakna buat pengendali berusia 33 tahun berkenaan, yang pernah berdepan desakan penyokong supaya dipecat selepas Brighton tewas 0-1 kepada Palace dalam aksi Derbi M23 pada Februari lalu.
Ketika itu, Brighton bergelut di tangga ke-14 liga, sekali gus mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penyokong yang mempersoalkan kemampuan Huerzeler untuk mengemudi pasukan.
Bagaimanapun, pihak pengurusan kelab tidak terburu-buru membuat keputusan sebaliknya terus memberikan kepercayaan kepada pengendali kelahiran Jerman itu, yang berjaya membawa Brighton menamatkan saingan musim lalu di kedudukan kelapan.
Pengerusi kelab, Tony Bloom, kemudian menghadiahkan lanjutan kontrak kepada Huerzeler sehingga 2029, dan keputusan itu kini membuahkan hasil apabila Brighton mempamerkan prestasi cemerlang pada musim ini.
Kemenangan besar ke atas Palace menyaksikan Brighton kini mengumpul 23 gol dalam tujuh perlawanan, sekali gus muncul pasukan paling prolifik setakat ini dan berada lima mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.
The Seagulls turut mencatatkan lima perlawanan tanpa bolos dengan perbezaan jaringan positif 18 gol, enam gol lebih baik berbanding City.
Dalam aksi berkenaan, Diego Gomez mencuri tumpuan apabila meledak gol menakjubkan menerusi rembatan dari garisan tengah padang, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah.
Huerzeler menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil usaha kolektif pemain dan seluruh staf pasukan, selain mengakui kejayaan menewaskan Palace sekali lagi memberikan kepuasan tersendiri.
"Beberapa bulan lalu, selepas tewas kepada Palace, kami berada dalam situasi berbeza. Saya berkata akan terus berusaha untuk mendapatkan peluang sekali lagi menewaskan mereka.
"Jadi, saya gembira kerana kami berjaya melakukannya hari ini.
"Ini bukan kejayaan seorang individu semata-mata. Saya memberikan penghargaan kepada pemain dan seluruh staf. Saya berharap semua orang menikmatinya," katanya.
Sementara itu, pertahanan Brighton, Lewis Dunk, memuji sumbangan menyeluruh pemain yang menyaksikan 11 pemain berbeza mencatat nama sebagai penjaring setakat ini.
Jumlah itu memperlihatkan kekuatan serangan Brighton yang tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja, berbeza dengan penyerang Manchester City, Erling Haaland, yang sudah menjaringkan lapan gol untuk mendahului carta penjaring terbanyak.
"Jika dilihat, gol kami dikongsi ramai pemain dan itu sangat membantu. Semua orang menyumbang serta membantu pasukan.
"Jika melihat rekod tanpa bolos, saya rasa ini jumlah tertinggi yang pernah kami catat pada tahap ini dalam musim ini. Kami juga sangat gembira dengan pencapaian itu," kata Dunk.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back