JAGUH Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, bertekad menebus kekalahan kepada Diego Paez apabila kedua-dua petarung itu kembali berentap dalam aksi ulangan pada The Inner Circle 35, malam ini.
Johan, yang lebih dikenali sebagai Jojo, berkata beliau melakukan pelbagai penambahbaikan sepanjang kem latihan kali ini, khususnya dari segi kepantasan, serangan dan teknik bagi memastikan persembahan lebih mantap berbanding pertemuan terdahulu.
“Saya sudah memperbaiki banyak perkara termasuk kepantasan dan menggilap senjata yang saya ada,” katanya.
Mengulas kekurangan dalam pertarungan pertama, Jojo berkata beliau sudah menonton semula perlawanan berkenaan beberapa kali bagi mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.
Bagaimanapun, petarung muda itu memilih untuk tidak mendedahkan secara terperinci perubahan yang dilakukan menjelang pertemuan penting berkenaan.
“Saya tidak akan mendedahkan perkara yang sedang saya perbaiki, tetapi ada banyak perkara kecil yang perlu saya betulkan,” katanya.
Kekalahan terbaharunya kepada Ramadan Ondash juga tidak mematahkan semangat Jojo, sebaliknya beliau kekal yakin dengan proses latihan dan menjadikan setiap pertarungan sebagai ruang untuk meningkatkan keupayaan diri.
“Saya tidak terlalu memikirkan perkara itu. Saya percaya pada proses. Saya hanya menikmati pertarungan dan jika saya terus meningkat selepas setiap perlawanan, lambat-laun saya tahu masa saya akan tiba,” katanya.
Jojo turut menegaskan bahawa keputusan menang atau kalah tidak mengubah dirinya, sebaliknya beliau lebih mengutamakan usaha maksimum yang diberikan sepanjang kem latihan dan ketika beraksi di gelanggang.
Menjelang pertemuan semula dengan Paez, Jojo yakin peningkatan yang dicapainya sejak pertarungan pertama mampu menyukarkan lawannya untuk mengeksploitasi gaya pertarungan agresif yang menjadi identitinya.
“Saya sudah banyak meningkat sejak pertarungan terakhir dengannya dan saya akan tunjukkan pada Jumaat ini. Saya masih petarung yang gemar memberi tekanan, malah kini saya lebih menikmatinya,” katanya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back