JAKARTA - Seekor orang utan betina berusia kira-kira 20 tahun diselamatkan dari kawasan hutan yang musnah akibat kebakaran di Kalimantan Tengah, Indonesia, selepas dipercayai merayau untuk mencari makanan.
Haiwan itu merupakan antara ratusan hidupan liar yang terjejas akibat kebakaran hutan di negara berkenaan, yang turut mencetuskan jerebu teruk sejak beberapa minggu lalu.
Ketua agensi sumber alam tempatan, Muriansyah, berkata orang utan berkenaan ditemukan penduduk setempat sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa.
“Kami mengesyaki orang utan itu sedang mencari makanan sebelum ditemukan penduduk setempat, yang kemudian melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita semalam.
Menurut laporan wartawan AFP di lokasi, orang utan itu diberikan ubat bius bagi membolehkan operasi menyelamat dijalankan dengan selamat. Pasukan penyelamat turut menggunakan jaring untuk menurunkan haiwan berkenaan dari atas pokok ketika berada dalam keadaan mengantuk.
Orang utan itu kini ditempatkan di pusat jagaan milik agensi berkenaan untuk pemantauan lanjut.
Petugas perubatan daripada Orangutan Foundation International, Ichlasul Khaerul, berkata pemeriksaan awal mendapati haiwan itu tidak mengalami kecederaan, namun menunjukkan tanda-tanda masalah pernafasan.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Kementerian Perhutanan Indonesia memaklumkan sebanyak 232 haiwan liar berjaya diselamatkan setakat 8 Oktober lalu, termasuk 76 monyet probosis dan 71 orang utan di Borneo.
Orang utan merupakan spesies yang dikategorikan sebagai amat terancam, dengan populasinya terus berdepan ancaman akibat kemusnahan habitat.
Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), kira-kira 104,000 orang utan masih hidup di Borneo dan Sumatera, berbanding lebih 230,000 ekor yang direkodkan sejak seabad lalu.
Pada September lalu, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) turut memberi amaran bahawa kebakaran hutan berlaku di habitat yang menampung kira-kira 52 peratus populasi orang utan di Borneo.
Kebakaran itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan hidup spesies berkenaan, khususnya apabila kemusnahan hutan menjejaskan sumber makanan dan tempat perlindungan semula jadi mereka.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back