KUALA LUMPUR - Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen Kejohanan Badminton Terbuka Denmark dengan cemerlang apabila menyingkirkan juara bertahan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, untuk mara ke pusingan kedua, tengah malam tadi.
Pasangan ranking keempat dunia itu mencatat kemenangan 21-19, 14-21, 21-11 dalam aksi selama 51 minit di Arena SJF Bank, Odense.
Pertarungan dua bekas juara dunia itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik menguasai set pertama sebelum Hoki-Kobayashi bangkit pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, gandingan negara kembali memperkemaskan permainan pada set ketiga dengan mengurangkan kesilapan mudah sebelum melakar kemenangan meyakinkan 21-11.
Hoki-Kobayashi hadir ke kejohanan itu selaku juara bertahan selepas menewaskan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, pada perlawanan akhir tahun lalu.
Terbuka Denmark turut menandakan penampilan pertama Aaron-Wooi Yik dalam Jelajah Dunia selepas kembali digandingkan susulan tempoh percubaan bersama pasangan berbeza sejak Jun lalu.
Gandingan itu kembali dibentuk pada Kejohanan Dunia di New Delhi, India, pada Ogos lalu dan berjaya muncul naib juara.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kemudian memutuskan untuk mengekalkan mereka sebagai pasangan tetap dalam usaha memburu pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Aaron-Wooi Yik kini menanti pemenang pertembungan antara pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Lee Jongmin, dengan juara Terbuka Artik di Finland, Aaron Tai-Yap Roy King, bagi merebut tempat ke suku akhir, esok.
Sementara itu, kemaraan pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa terhenti di pusingan pertama selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Line Christophersen, 5-21, 18-21.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back