KUALA LUMPUR - Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan di Kejohanan Badminton Terbuka Artik apabila menewaskan wakil Taiwan, Su Li Yang, untuk melangkah ke suku akhir di Finland, hari ini.
Zii Jia hanya memerlukan 46 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-12 dalam aksi pusingan 16, sekali gus meneruskan momentum positif selepas menyingkirkan pemain China, Dong Tian Yao, pada pusingan pertama.
Memulakan perlawanan dengan agresif, pemain negara itu menggunakan permainan pantas untuk memberi tekanan kepada Li Yang, namun lawannya tetap memberikan tentangan sengit bagi memastikan kedudukan mata kekal rapat.
Selepas mendahului 11-9, Zii Jia terus mengawal rentak permainan sebelum menutup set pertama 21-17.
Memasuki set kedua, Zii Jia tampil lebih meyakinkan apabila meningkatkan penguasaan di gelanggang serta memanfaatkan peluang menerusi serangan yang lebih tersusun.
Li Yang cuba bangkit untuk merapatkan jurang mata, namun Zii Jia kekal tenang dan konsisten sebelum mengesahkan kemenangan 21-12.
Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti Zii Jia di suku akhir apabila dijadualkan berdepan pilihan kedua kejohanan, Christo Popov dari Perancis.
Zii Jia mempunyai kelebihan dari segi rekod pertemuan apabila menang dalam kedua-dua aksi terdahulu menentang Popov.
Selepas bermula dari pusingan kelayakan dan kini berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan pemain terbaik, Zii Jia pastinya mahu memanfaatkan momentum itu untuk meneruskan kemaraan serta membina semula konsistensi dalam saingan jelajah dunia.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back