KUALA LUMPUR - Pelumba Formula Satu (F1), Valtteri Bottas akhirnya tiba di Singapura selepas memilih cara luar biasa untuk ke Grand Prix (GP) Singapura dengan mengayuh basikal dari Malaysia.
Menurut perkongsian laman Sportskeeda F1, pelumba Cadillac itu menyelesaikan kayuhan sejauh 40.16 kilometer (km) dari Johor Bahru sebelum memasuki Singapura.
“Valtteri Bottas secara rasminya sudah tiba di Singapura selepas kayuhan epiknya dari Malaysia,” menurut laman berkenaan menerusi perkongsian di Facebook.
Sebelum ini, Bottas mencuri perhatian apabila dilaporkan memilih untuk berbasikal menuju ke Singapura selepas beraksi pada Grand Prix Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu lalu.
Pelumba Finland itu dikatakan mengayuh basikal merentasi laluan gelap dan kawasan ladang kelapa sawit pada waktu malam, berbanding berehat di hotel selepas perlumbaan.
Aktiviti berkenaan turut mendapat perhatian pengguna media sosial selepas laman Autosport berkongsi gambar Bottas ketika melakukan kayuhan.
“Valtteri Bottas kini sedang berbasikal sejauh 350 kilometer dari Sepang ke Singapura untuk menghadiri Grand Prix seterusnya,” menurut laman tersebut.
Bottas turut berkongsi video menerusi InstaStory yang memaparkan dirinya berbasikal di sebuah jalan sempit dan gelap.
Berdasarkan rekod aktiviti menerusi aplikasi Wahoo ELEMNT ROAM 3 dan Strava, Bottas menamakan kayuhan itu sebagai “Malaysia to Singapore Day 1”.
Pada hari pertama, dia merekodkan perjalanan sejauh 56.60 km bermula dari kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menuju ke Port Dickson.
Sementara itu, GP Singapura dijadual berlangsung dari Jumaat hingga Ahad ini.
Bottas sebelum ini turut dilaporkan berbasikal meredah kesesakan lalu lintas selepas perlumbaan di SIC, selain termasuk dalam senarai tiga pelumba yang gagal menamatkan perlumbaan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back