KUCHING - Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan keputusan seri 2-2 menentang Tampines Rovers dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) sebagai hasil usaha keras anak buahnya yang menguasai sebahagian besar permainan.
Menurut Aidil, Kuching City tampil lebih dominan dalam perlawanan di Stadium Taha Arifin malam tadi, namun berdepan kesukaran untuk menembusi pertahanan Tampines Rovers yang tersusun dan bertahan secara kompak.
Beliau turut menegaskan bahawa Kuching City tidak sepatutnya tewas berdasarkan persembahan yang ditampilkan sepanjang perlawanan.
"Secara keseluruhannya, jika melihat kepada perlawanan ini, kami menguasai permainan dengan baik. Saya rasa kami tidak layak untuk kalah dalam perlawanan ini.
"Kami mempunyai beberapa peluang dan kita juga perlu memberikan kredit kepada penjaga gol serta barisan pertahanan Tampines yang beraksi dengan baik untuk menyekat kami," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Aidil berkata, kualiti yang dimiliki Tampines Rovers turut menyukarkan Kuching City untuk mencari ruang, khususnya ketika barisan pertahanan lawan berada dalam susunan yang kemas.
Bagaimanapun, beliau memuji karakter pemainnya yang tidak mudah berputus asa dan terus memberikan tekanan sehingga berjaya menjaringkan dua gol untuk mengubah kedudukan perlawanan.
Menurutnya, semangat juang itu penting bagi membuktikan kemampuan Kuching City untuk bangkit dan terus berjuang ketika berdepan situasi sukar.
"Kita tidak boleh berhenti di sini. Ini adalah bola sepak dan kami perlu teruskan daripada apa yang kami lakukan hari ini.
"Kami perlu mengambil pengajaran daripada perlawanan ini dan memperbaiki apa yang perlu untuk perlawanan seterusnya," katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back