KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) - Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai isu kehilangan kuasa Formula 1 (F1) yang menjejaskan pusingan formasi perlumbaan Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Dalam kenyataan, FIA menjelaskan isu itu tidak dikesan semasa ujian atau ketika pusingan menuju ke petak permulaan.
“Gabungan kelajuan enjin rendah, keadaan cengkaman yang rendah, tetapan pengurusan tenaga cuaca basah dan konfigurasi sektor litar Sepang yang belum pernah terjadi sebelum ini telah menyebabkan kehilangan kuasa secara tidak disengajakan bagi beberapa kereta.
“Susulan itu, jabatan teknikal FIA telah memansuhkan kekangan had tenaga di sektor yang terjejas melalui kemas kini perisian yang diedarkan kepada semua pesaing ketika perlumbaan ditangguhkan ekoran hujan lebat, dan langkah itu membolehkan pasukan membuat perubahan yang diperlukan terhadap unit kuasa sebelum perlumbaan bermula,” menurut kenyataan itu.
Selepas pusingan formasi bermula, perlumbaan serta-merta diberhentikan dan prosedur permulaan digantung mengikut peraturan FIA, mendorong semua pemandu untuk kembali ke pit.
Antara pemandu yang terjejas akibat masalah tersebut ketika pusingan formasi ialah Lewis Hamilton dari Ferrari dan Esteban Ocon daripada pasukan Haas F1.
Sementara itu, perlumbaan yang sepatutnya bermula pada 3 petang terpaksa ditangguhkan selama 93 minit berikutan hujan serta air bertakung di litar ikonik berkenaan.
Max Verstappen dari Red Bull Racing muncul juara GP Bahrain di Malaysia 2026 sekali gus meraih kemenangan pertamanya bagi musim ini.
Pendahulu kedudukan semasa yang juga pemandu pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1, Kimi Antonelli menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Hamilton melengkapkan podium dengan menduduki tempat ketiga.
Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt selepas persetujuan dicapai antara Formula 1, FIA serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026. Sebelum itu, perlumbaan tersebut dibatalkan berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
SIC menjadi lokasi perlumbaan GP Malaysia dari 1999 hingga 2017.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back