KATHMANDU - Sekurang-kurangnya 30 orang maut dalam kejadian tanah runtuh dan hujan lebat yang melanda Nepal, ketika negara Himalaya itu masih berdepan kesan banjir besar pada Ogos lalu yang mengorbankan lebih 1,400 nyawa, manakala ribuan lagi dilaporkan hilang.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Nepal, lebih 1,900 keluarga terjejas akibat bencana yang berlaku sejak hujung minggu lalu, dengan sekurang-kurangnya 240 rumah musnah.
Bencana itu turut menjejaskan infrastruktur utama apabila jalan raya, bangunan dan jambatan dihanyutkan arus deras.
Keadaan berbahaya itu memaksa ratusan pendaki di kawasan Annapurna, antara destinasi pendakian utama yang menyumbang kepada ekonomi Nepal, menamatkan perjalanan lebih awal atas faktor keselamatan.
Sebahagian daripada mereka terpaksa dipindahkan menggunakan helikopter dari daerah Manang dan Mustang.
Di beberapa wilayah terjejas, suasana pilu menyelubungi penduduk yang mula berkabung atas kehilangan ahli keluarga masing-masing.
Seorang penduduk tempatan, Buti Tamang, yang berlindung di sebuah khemah di Battar, utara Kathmandu, berkata mereka kini kehilangan tempat tinggal dan ahli keluarga.
“Kami pernah mempunyai tempat tinggal, tetapi kini sehelai sepinggang. Kami kehilangan ramai ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, pendaki dan pemandu arah menggambarkan perjalanan keluar dari kawasan pergunungan sebagai amat berbahaya, dengan perjalanan yang biasanya mengambil masa lebih singkat kini mencecah tiga hingga empat hari akibat laluan runtuh dan jambatan yang rosak.
Pendaki warga Britain, Jake Stacy, 21, berkata beliau bersama pemandu arah terperangkap di Yak Kharka, kawasan tinggi di Manang, akibat salji tebal.
Keadaan itu memaksa mereka membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan ke Genting Thorang La, iaitu titik tertinggi di laluan berkenaan.
“Kami terpaksa membuka laluan baharu di cerun gunung.
“Keadaannya amat curam dan kami terpaksa bergerak dengan berhati-hati kerana terdapat sungai di bawah, manakala laluan pula berlumpur dan sangat licin,” katanya selepas tiba di kem pangkalan Pokhara kelmarin.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back