NAGOYA - S Sivasangari mencipta sejarah apabila menjadi pemain skuasy kedua melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) selepas mempertahankan gelaran perseorangan wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, hari ini.
Pemain nombor lima dunia itu menampilkan aksi dominan untuk menewaskan wakil India, Anahat Singh yang menghuni ranking ke-17 dunia, 11-4, 11-4, 11-7 pada perlawanan akhir di Arena Nagoya Kinjo Futo.
Kejayaan itu menyaksikan Sivasangari menerima tiket automatik ke LA28, selepas pemenang acara perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan Asia diberikan kelayakan ke temasya Olimpik berkenaan.
Skuasy bakal membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik pada edisi Los Angeles 2028.
Terdahulu, Ng Eain Yow turut mempertahankan gelaran perseorangan lelaki selepas menewaskan seorang lagi wakil India, Abhay Singh, 11-9, 11-5, 11-5.
Eain Yow muncul pemain pertama dalam sejarah skuasy yang mengesahkan tempat ke LA28, sebelum Sivasangari mengikut jejak langkahnya.
Kemenangan hari ini turut menyaksikan Sivasangari mengekalkan rekod sempurna menentang Anahat dengan tiga kemenangan daripada tiga pertemuan.
Pada aksi separuh akhir semalam, Sivasangari menewaskan Chan Sin Yuk dari Hong Kong, manakala Anahat menyingkirkan wakil tuan rumah, Satomi Watanabe.
Satomi bagaimanapun menamatkan saingan dengan pingat gangsa selepas menewaskan Chan Sin Yuk 11-3, 11-6, 7-11, 11-9 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, hari ini.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back