LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berpeluang meneruskan projek jangka panjangnya di Stadium Emirates selepas dilaporkan semakin hampir mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontrak bersama kelab itu.
Kontrak Arteta ketika ini akan berakhir pada penghujung musim, namun pengendali dari Sepanyol itu dilaporkan bersedia untuk terus membimbing The Gunners.
Perkembangan itu tidak mengejutkan selepas Arteta berjaya mengembalikan Arsenal ke puncak bola sepak Inggeris dengan membantu kelab itu menamatkan penantian dua dekad untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris.
Arteta yang dilantik pada 2019 kini dilihat sebagai antara individu penting dalam pembentukan semula skuad Arsenal sehingga muncul sebagai salah satu pasukan pencabar utama di Eropah.
Mengulas mengenai rundingan kontraknya, Arteta menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kebimbangan mengenai masa depannya dan mahu terus kekal bersama kelab London berkenaan.
“Saya berasa cukup gembira dan bersyukur untuk bekerjasama dengan orang yang saya bekerja sekarang,” katanya.
Walaupun tempoh kontrak baharu masih belum dimuktamadkan secara rasmi, laporan sebelum ini menyebut Arteta berpotensi melanjutkan perkhidmatan sehingga 2029.
Perjanjian baharu itu juga dijangka hadir bersama peningkatan gaji serta bonus berdasarkan pencapaian, sekali gus mencerminkan peranan penting Arteta dalam projek jangka panjang Arsenal.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back