KUALA LUMPUR - Penampilan sulung atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan sekadar medan untuk menimba pengalaman, sebaliknya dia turut menyimpan misi untuk melangkah ke pentas final.
Jurulatih peribadinya, Frantisek Petrovic yakin atlet kelahiran Sarawak berusia 23 tahun itu mampu memberikan aksi terbaik sekali gus mencabar kelompok final dalam penampilan pertamanya di temasya berkenaan.
Malah, Petrovic percaya Jonah berada pada landasan terbaik untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 19.12 meter (m) yang dilakar pada Kejohanan Olahraga XXXV Qosanov Memorial 2026 di Kazakhstan, Jun lalu.
Menurut Petrovic, prestasi Jonah menunjukkan perkembangan positif dan atlet itu turut konsisten menghasilkan lontaran terbaik apabila beraksi di pentas antarabangsa.
“Dia sudah pun melakukan catatan 19.12m sebelum ini dan jika dilihat pada progres, memang dia semakin meningkat. Di Jepun nanti, memang saya mengharapkan dia untuk melangkah ke pentas final.
“Saya rasa dia sudah bersedia untuk itu (memecahkan rekod kebangsaan) dan semuanya bergantung kepada cuaca, tekanan serta gangguan di sana.
“Bagi saya, dia sentiasa menampilkan aksi terbaik di pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, kelmarin.
Pada Kejohanan Olahraga XXXV Qosanov Memorial 2026 di Kazakhstan, Jonah meraih pingat perak menerusi lontaran 19.12m sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan ketika itu.
Catatan berkenaan memadam rekod lama 18.81m dan kini menjadi sasaran untuk diperbaharui oleh Jonah pada penampilan sulungnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back