RIO DE JANEIRO, 15 Sept - Carlo Ancelotti mengesahkan Neymar tidak lagi akan menyarung jersi Brazil, sekali gus menamatkan karier antarabangsa penyerang Santos itu yang berlangsung lebih sedekad.
Menurut Ancelotti, keputusan berkenaan dibuat sendiri oleh Neymar dan sekali gus mengakhiri spekulasi mengenai masa depan pemain berusia 34 tahun itu bersama skuad kebangsaan selepas Piala Dunia 2026.
“Neymar memang layak berada di sini atas kualiti yang dimilikinya. Namun Neymar sendiri sudah mengesahkan bahawa beliau tidak mahu kembali ke skuad kebangsaan,” katanya.
Neymar meninggalkan legasi besar bersama Brazil, namun Ancelotti kini memberi tumpuan kepada pembentukan semula pasukan selepas kegagalan Selecao pada Piala Dunia lalu, sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia 2030.
Pengendali dari Itali itu mengakui kehilangan Neymar sukar diatasi kerana tiada pemain lain yang mampu menggantikan bakat unik yang dimiliki bintang berkenaan.
“Neymar tidak boleh diganti kerana beliau adalah bakat yang luar biasa dan unik. Jadi, beliau seorang pemain yang tiada galang gantinya,” katanya.
Seiring berakhirnya episod Neymar bersama Brazil, Ancelotti dan Pengarah Skuad Kebangsaan, Rodrigo Caetano, kini memulakan proses rombakan bagi membentuk generasi baharu pasukan kebangsaan.
Fokus utama adalah membina skuad yang mampu mengembalikan Brazil ke puncak bola sepak dunia pada Piala Dunia 2030, dengan proses pembaharuan itu sudah dimulakan menerusi senarai panggilan terbaharu.
Beberapa pemain veteran diketepikan bagi memberi ruang kepada prospek muda dan pemain yang sedang meningkat naik, khususnya daripada saingan liga tempatan.
Ancelotti mahu tempoh empat tahun akan datang dimanfaatkan untuk menilai pemain kelahiran pertengahan 2000-an, terutama mereka yang lahir pada 2004, 2005 dan 2006.
“Kita perlu bergerak langkah demi langkah. Kini kita perlu fokus kepada pemain muda yang boleh menjadi masa depan pasukan.
“Kita juga mempunyai pemain muda berbakat besar yang lahir pada 2008. Walaupun belum beraksi secara kerap, mereka mampu bermain. Ini masa yang sesuai untuk menilai mereka dengan mengambil kira dan menghormati faktor umur.
“Memang benar seseorang pemain masih mampu beraksi cemerlang biarpun berusia 36 atau 37 tahun, tetapi buat masa ini, keutamaan harus diberikan kepada bakat muda,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back