JAKARTA - Enam gunung berapi aktif di Indonesia dilaporkan meletus pada hari yang sama, namun pihak berkuasa menegaskan kejadian itu berlaku secara berasingan dan tidak mempunyai kaitan dengan satu proses geologi yang sama.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) berkata, gunung berapi berkenaan ialah Gunung Ibu di Maluku Utara, Gunung Semeru di Jawa Timur, Gunung Lewotobi Laki-laki dan Gunung Ile Lewotolok di Nusa Tenggara Timur (NTT), Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda serta Gunung Sinabung di Sumatera Utara.
Ketua PVMBG, Rita Susilawati berkata, kejadian beberapa gunung berapi meletus dalam tempoh yang sama bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik dan mempunyai 127 gunung berapi aktif.
Menurutnya, setiap gunung berapi mempunyai sistem magma serta proses vulkanik tersendiri, sekali gus tiada bukti menunjukkan letusan berkenaan saling mempengaruhi.
“Proses meletus antara satu gunung dengan gunung yang lain adalah berbeza.
“Kami tidak menemukan bukti adanya satu proses geologi yang meletus secara serentak,” katanya.
PVMBG turut menjelaskan bahawa pergerakan kerak bumi tidak semestinya menjadi pencetus kepada letusan gunung berapi.
Sebaliknya, perubahan ketara dalam data pemantauan seperti peningkatan aktiviti seismik dalaman, deformasi gunung, suhu dan pelepasan gas perlu diperhatikan bagi menentukan perubahan aktiviti sesuatu gunung berapi.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa menggesa penduduk yang tinggal berhampiran kawasan gunung berapi supaya mematuhi zon larangan yang ditetapkan serta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai maklumat tidak sahih yang tular di media sosial dan sentiasa berwaspada terhadap sebarang perubahan aktiviti gunung berapi di kawasan masing-masing.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back