PARIS - Perpindahan Neymar dari Barcelona ke Paris Saint-Germain (PSG) pada 2017 masih kekal sebagai perpindahan termahal dalam sejarah bola sepak, walaupun pasaran pemain menyaksikan peningkatan nilai luar biasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Neymar meninggalkan Barcelona pada Ogos 2017 untuk menyertai PSG dengan nilai perpindahan €222 juta (RM1.04 bilion), angka yang ketika itu dianggap luar biasa dan sehingga kini masih belum dapat diatasi.
Pasaran perpindahan pada 2025 dan 2026 kembali menyaksikan nilai transaksi yang tinggi, dengan beberapa bintang seperti Kylian Mbappe, Ousmane Dembele, Alexander Isak dan sejumlah pemain Liga Perdana Inggeris berada dalam kelompok perpindahan termahal.
Mbappe menduduki tempat kedua selepas menyertai PSG secara tetap dari Monaco dengan nilai €180 juta (RM842.4 juta) menerusi perpindahan yang diselesaikan pada 2018.
Dembele pula berada dalam kelompok teratas selepas berpindah dari Borussia Dortmund ke Barcelona dengan nilai €148 juta (RM692.6 juta).
Enzo Fernandez turut mencatatkan nilai perpindahan tinggi apabila berpindah dengan bayaran €145 juta (RM678.6 juta). Pemain tengah Argentina itu mencuri perhatian selepas membantu negaranya menjuarai Piala Dunia 2022 selain menyerlah di pentas Eropah.
Alexander Isak pula menyertai Liverpool dari Newcastle dengan nilai hampir €145 juta (RM678.6 juta), manakala Elliot Anderson mencatatkan nilai €135 juta (RM631.8 juta) ketika berpindah ke Manchester City.
Trend perpindahan bernilai tinggi itu turut menyaksikan Morgan Rogers berpindah dari Aston Villa ke Chelsea dengan nilai sekitar €138 juta (RM645.8 juta), sementara Florian Wirtz dan beberapa pemain lain turut berada dalam lingkungan €125 juta (RM585.3 juta).
Bagaimanapun, peningkatan nilai perpindahan pemain dalam beberapa jendela terakhir masih belum mampu menggugat rekod Neymar.
Bintang kelahiran Santos itu masih berada di tangga teratas dengan kelebihan yang ketara berbanding pencabar terdekatnya.
Persoalannya kini, mampukah rekod €222 juta milik Neymar terus bertahan, atau pasaran perpindahan moden bakal melahirkan satu lagi angka yang mampu mengatasi rekod berkenaan?
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back