ISTANBUL, 31 Ogos (Bernama-Anadolu) - Lionel Messi pada Isnin mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa bersama Argentina, dengan menyatakan bahawa beliau telah memberikan segala-galanya kepada pasukan kebangsaan dan merasakan sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada generasi baharu, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam kenyataan menerusi platform media sosial Amerika Syarikat, Instagram, Messi berkata keputusan itu amat menyakitkan, namun telah dipertimbangkannya secara mendalam sejak perlawanan akhir Argentina.
“Saya bersumpah, saya sentiasa memberikan segala-galanya, bukan hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini ketika kami memenangi segala-galanya, tetapi sebelum itu juga.
“Saya sentiasa berjuang dan memberikan segala-galanya untuk jersi ini, untuk menggembirakan anda dan membuatkan anda bangga menjadi rakyat Argentina menerusi bola sepak,” katanya.
Messi berkata pasukan kebangsaan kini memasuki tempoh peralihan dengan kemunculan pemain-pemain muda yang “layak berada di sini”.
“Tidak banyak masa yang berbaki dan beberapa bab sudah semakin menuju ke penghujungnya. Ini adalah salah satu daripadanya yang amat menyakitkan hati saya.
“Saya telah memberikan segala yang saya ada dan tiada lagi yang mampu saya berikan,” katanya.
Pemain berusia 39 tahun itu turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong Argentina, keluarganya, barisan jurulatih, rakan sepasukan dan pihak pengurusan atas sokongan yang diberikan sepanjang karier antarabangsanya.
“Saya pergi dengan hati yang tenang dan bangga, kerana mengetahui bahawa bersama rakan-rakan sepasukan, kami telah memberikan anda detik-detik yang pernah kami impikan.
“Adalah sesuatu yang luar biasa untuk melalui semua ini bersama anda,” katanya.
Messi berkata beliau telah menulis kenyataan berkenaan pada 21 Julai, dua hari selepas perlawanan akhir, namun kematian bapanya selepas itu menguatkan lagi keyakinannya terhadap keputusan tersebut.
“Hari ini, selepas apa yang berlaku kepada ayah saya, saya lebih yakin dengan keputusan ini berbanding sebelum ini,” katanya.
Messi mengakhiri kenyataannya dengan mengucapkan terima kasih kepada Tuhan kerana menjadikannya rakyat Argentina dan berkata: “Vamos Argentina!”
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back