MANCHESTER - Manchester City terpaksa bekerja keras sebelum melengkapkan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Bournemouth 2-1 dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.
Bournemouth terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Marcus Tavernier meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-26.
City meningkatkan tekanan selepas rehat dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-84 menerusi Marc Guehi yang menyudahkan peluang hasil sepakan penjuru.
Jaringan itu menyemarakkan semangat City untuk memburu gol kemenangan ketika perlawanan berbaki lima minit.
Usaha mereka membuahkan hasil apabila Josko Gvardiol muncul wira pasukan dengan meledak gol kemenangan pada masa kecederaan selepas menerima hantaran Rayan Cherki.
Kemenangan tersebut memastikan City memulakan kempen baharu EPL dengan tiga mata, selain memberikan suntikan penting buat pengurus baharu mereka, Enzo Maresca, dalam penampilan sulungnya di pentas liga selepas menggantikan Pep Guardiola bulan lalu.
Dalam satu lagi aksi, Aston Villa melalui detik mengecewakan apabila dibelasah Brighton 4-0 selepas beraksi dengan 10 pemain untuk sebahagian besar perlawanan.
Villa bermula baik sebelum keadaan berubah pada minit kelapan apabila Victor Lindelof menjaringkan gol sendiri, sekali gus membuka ruang buat Brighton menguasai permainan.
Brighton kemudian mengambil kesempatan sepenuhnya apabila Maxim De Cuyper menggandakan kelebihan pada minit ke-18.
Jack Hinshelwood selepas itu menjaringkan dua gol dalam tempoh seminit, masing-masing pada minit ke-30 dan ke-31, untuk meletakkan Brighton selesa mendahului 4-0.
Nasib buruk Villa bertambah apabila Joao Gomes dilayangkan kad merah pada minit ke-40.
Keputusan 4-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus memberikan Brighton permulaan sempurna dalam kempen EPL.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back