RABAT - Legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos menafikan dakwaan bahawa beliau memeluk Islam ketika berkahwin dengan ahli perniagaan Maghribi, Souheila Tahiri.
Bercakap secara eksklusif kepada akhbar Arab Saudi, Okaz, bekas pertahanan Real Madrid itu berkata laporan mengenai perubahan agamanya adalah tidak benar.
"Saya sangat menghormati Islam dan amat indah melihat isteri saya menunaikan solat, tetapi khabar angin yang tersebar mengenai saya memeluk Islam adalah tidak benar," katanya.
Dakwaan itu tersebar di media sosial dan beberapa saluran media yang mendakwa Carlos, 53, memeluk Islam kira-kira empat minggu lalu.
Ada laporan turut mendakwa beliau melafazkan syahadah ketika bertemu Sheikh Jihad Hamada, tokoh terkenal dalam komuniti Islam di Brazil.
Beberapa gambar yang tersebar dalam talian juga didakwa menunjukkan pasangan berkenaan melangsungkan majlis perkahwinan secara Islam di hadapan seorang tokoh agama.
Bagaimanapun, Carlos menjelaskan majlis perkahwinan mereka diadakan dalam beberapa bentuk bagi menghormati latar belakang agama dan budaya keluarga serta rakan-rakan kedua-dua pihak.
Menurutnya, mereka mahu meraikan ahli keluarganya yang beragama Katolik, selain mengadakan majlis yang mencerminkan latar belakang Tahiri dari Maghribi serta rakan-rakannya yang beragama Islam.
Kepelbagaian unsur dalam sambutan perkahwinan itu dipercayai mencetuskan spekulasi mengenai pegangan agama Carlos.
Carlos turut berkongsi kisah bagaimana hubungannya dengan Tahiri bermula.
Menurutnya, mereka pertama kali bertemu dalam satu pertemuan perniagaan berkaitan bola sepak sebelum hubungan itu berkembang dalam aspek peribadi dan profesional.
Beliau menyifatkan Tahiri sebagai ahli perniagaan yang berjaya dan berkata hubungan mereka telah terjalin selama kira-kira dua tahun.
Perkahwinan pasangan itu menarik perhatian di Maghribi dan Brazil, khususnya kerana status Carlos sebagai antara tokoh paling dikenali dalam dunia bola sepak.
Carlos menikmati karier gemilang bersama Real Madrid dan Brazil serta dianggap antara bek kiri terbaik dalam sejarah bola sepak.
Kenyataan terbaharunya sekali gus menepis spekulasi mengenai agamanya, selain memperlihatkan usaha pasangan itu menghormati perbezaan tradisi budaya dan agama dalam keluarga masing-masing.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back