MILAN - Ruben Amorim memulakan era baharunya di AC Milan dengan rancangan rombakan besar-besaran apabila tujuh pemain utama dilaporkan tidak lagi berada dalam perancangannya di San Siro.
Antara nama besar yang berdepan kemungkinan meninggalkan kelab itu ialah bekas pertahanan Chelsea, Fikayo Tomori dan pemain tengah Perancis, Christopher Nkunku.
Amorim mengambil alih tugas sebagai pengendali Milan pada awal Jun lalu, lebih enam bulan selepas meninggalkan Manchester United. Bagaimanapun, permulaan pengendali dari Portugal itu bersama kelab gergasi Itali berkenaan belum berjalan seperti diharapkan.
Milan sekadar seri ketika berdepan Celtic dan seteru sekota, Inter Milan, selain tewas 0-3 kepada Chelsea pada Sabtu lalu.
Amorim bagaimanapun berpeluang menebus kekalahan itu apabila Milan dijadualkan berdepan bekas kelabnya, Manchester United, di Wroclaw, Poland, esok.
Selain Tomori dan Nkunku, Youssouf Fofana, David Odogu, Pervis Estupinan, Santiago Gimenez dan Philip Terracciano turut dilaporkan disenaraikan untuk dijual.
Tomori dikatakan menarik perhatian Coventry City yang kini dikendalikan bekas pengurusnya di Chelsea, Frank Lampard. Sementara itu, Fofana pula dilaporkan menjadi sasaran Crystal Palace, Nottingham Forest dan Villarreal.
Amorim turut mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Milan mengenai perancangannya bagi musim ini, termasuk usaha menerapkan sistem lima pertahanan yang pernah digunakan ketika beliau mengendalikan Manchester United.
Tugas utama Amorim adalah untuk mengembalikan Milan ke kelompok pencabar selepas kelab itu menamatkan saingan Serie A musim lalu di tempat kelima dan gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
Milan kali terakhir menjuarai Serie A pada musim 2021-22 di bawah kendalian Stefano Pioli.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back