ROSARIO - Ikon bola sepak Argentina, Lionel Messi, memberikan penghormatan terakhir kepada bapanya, Jorge Messi, yang meninggal dunia pada usia 68 tahun selepas bertarung dengan kanser.
Messi tiba di Rosario dari Miami dengan penerbangan persendirian pada Sabtu, ditemani isterinya, Antonela Roccuzzo serta anak-anak mereka.
Upacara penghormatan secara tertutup yang dihadiri keluarga terdekat dan beberapa rakan sepasukan Argentina berlangsung di tanah perkuburan El Prado di bandar Perez, berhampiran Rosario, pada Ahad.
Jorge merupakan antara individu paling penting dalam perjalanan karier Messi sejak kecil. Selain menjadi bapa, beliau turut memainkan peranan sebagai ejen yang menguruskan kerjaya anaknya sehingga Messi muncul sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak dunia.
Pintu masuk tanah perkuburan dihiasi mesej tulisan tangan daripada peminat yang hadir untuk memberikan sokongan kepada keluarga Messi, termasuk kata-kata "Terus kuat, Leo, kami sayang kamu" dan "Terus kuat, keluarga Messi".
Beberapa rakan sepasukan Messi dalam skuad Argentina turut hadir bagi memberikan sokongan kepada kapten mereka selepas berita kematian Jorge diumumkan pada Jumaat.
Pemain tengah Boca Juniors, Leandro Paredes, berkata kehadiran mereka bersama Messi amat penting ketika keluarganya melalui tempoh sukar itu.
Media tempatan turut melaporkan Rodrigo de Paul, rakan rapat Messi dan rakan sepasukannya di Inter Miami, pulang ke Argentina bagi memberikan penghormatan kepada keluarga tersebut.
De Paul turut mendedikasikan golnya kepada Jorge ketika Inter Miami tewas 1-2 kepada Monterrey pada Sabtu. Selepas menjaringkan gol, beliau menanggalkan jersi untuk mendedahkan baju nombor 10 milik Messi.
Sokongan turut hadir daripada peminat. Lucas Blanco, 15, antara yang hadir di luar tanah perkuburan dengan membawa papan tanda bertulis "Terus kuat, Messi".
Pasangan Carlos dan Ana dari Tres Arroyos pula memandu kira-kira 700 kilometer untuk memberikan sokongan kepada Messi dan keluarganya.
Jorge memainkan peranan besar dalam perkembangan karier anaknya. Beliau merupakan jurulatih pertama Messi sebelum meninggalkan pekerjaannya sebagai pekerja logam di Rosario untuk membawa anaknya ke Sepanyol ketika berusia 13 tahun.
Langkah itu membolehkan Messi meneruskan rawatan bagi masalah kekurangan hormon pertumbuhan selain menyertai akademi Barcelona.
Jorge kemudiannya menjadi ejen yang menguruskan urusan kontrak Messi sepanjang kariernya, termasuk ketika bersama Barcelona, Paris Saint-Germain (PSG) dan Inter Miami.
Pemergian Jorge turut menerima penghormatan daripada dunia bola sepak. Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengarahkan supaya bertafakur selama seminit dan semua pasukan memakai lilitan hitam dalam perlawanan sepanjang minggu ini sebagai tanda penghormatan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back