KUALA LUMPUR, 27 Julai - Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan mendedikasikan kejayaan mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel 2026 kepada keluarga, jurulatih dan seluruh pasukan sokongan yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang perjalanan sebagai atlet.
Ketika Jalur Gemilang dinaikkan dan lagu Negaraku bergema di Scottish Event Campus Armadillo, Glasgow, atlet berusia 24 tahun itu mengakui kejayaan tersebut adalah hasil pengorbanan ramai pihak yang tidak pernah berhenti memberi sokongan.
“Motivasi saya hari ini adalah keluarga. Pingat emas ini saya dedikasikan kepada keluarga, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), jurulatih dan semua individu yang sentiasa bersama saya sejak hari pertama saya berlatih. Tanpa mereka saya mungkin tidak berada di sini,” katanya.
Aniq mempertahankan gelaran kategori 60 kilogram (kg) lelaki yang dimenanginya di Birmingham empat tahun lalu selepas mencatat jumlah angkatan 273kg, sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada temasya di Glasgow.
Lebih manis, beliau turut memecahkan dua rekod Sukan Komanwel menerusi angkatan 152kg dalam acara clean and jerk serta jumlah keseluruhan 273kg, meskipun menerima saingan sengit daripada atlet India.
Di sebalik kejayaan itu, Aniq mendedahkan beliau berdepan detik mencemaskan sebelum pertandingan apabila kedua-dua belah kakinya mengalami kekejangan ketika sesi memanaskan badan.
“Ketika memanaskan badan kedua-dua belah kaki saya kejang. Memang ketika itu saya terfikir janganlah sampai tidak boleh bertanding. Sebulan sebelum datang ke sini saya menjalani rawatan otot trisep.
“Tetapi selepas percubaan pertama, saya sudah tidak rasa sakit, jadi saya yakin hari ini mungkin hari saya,” katanya.
Pingat perak dimenangi atlet India, Rishikanta Singh dengan jumlah angkatan 264kg, manakala gangsa menjadi milik Joshua Amunga Mboya dari Kenya selepas mencatat 260kg.
Bagi Aniq, kejayaan mempertahankan emas Sukan Komanwel membuktikan segala pengorbanan dan usaha keras selama ini tidak sia-sia, namun beliau menyedari cabaran yang lebih besar masih menantinya pada masa hadapan.
Sementara itu, kem angkat berat negara terus mencipta kegemilangan apabila Muhamad Aznil Bidin menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia menerusi kategori 65kg lelaki, manakala Irene Jane Henry menyumbang pingat gangsa dalam kategori 48kg wanita.
Pencapaian tersebut melengkapkan hari cemerlang skuad angkat berat negara di Glasgow dengan kutipan dua pingat emas dan satu gangsa.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back