ATLANTA - England bakal menempuh ujian paling sukar dalam usaha menamatkan penantian 60 tahun untuk kembali ke pentas final Piala Dunia apabila dijadualkan menentang juara bertahan, Argentina, pada aksi separuh akhir di Atlanta, Rabu.
Perlawanan yang berlangsung di stadium berbumbung itu menyaksikan skuad Three Lions diterajui bintang muda, Jude Bellingham, berdepan Argentina yang diketuai legenda hidup bola sepak dunia, Lionel Messi.
Pertembungan itu juga menjadi aksi kompetitif pertama antara kedua-dua pasukan sejak saingan Piala Dunia 2002, sekali gus menghidupkan semula salah satu perseteruan paling ikonik dalam sejarah bola sepak.
Rivaliti England dan Argentina sering dikaitkan dengan beberapa detik bersejarah termasuk jaringan kontroversi 'Hand of God' Diego Maradona pada Piala Dunia 1986, kad merah David Beckham selepas insiden bersama Diego Simeone pada edisi 1998, selain isu Kepulauan Falkland yang turut mewarnai hubungan kedua-dua negara.
Bagaimanapun, pengendali Argentina, Lionel Scaloni, enggan membiarkan isu di luar padang mengganggu persiapan pasukannya.
"Mesej saya mudah, ini adalah perlawanan bola sepak. Itu sahaja yang boleh saya katakan," ujar Scaloni selepas kemenangan 3-1 ke atas Switzerland pada peringkat suku akhir.
England kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mara ke final Piala Dunia buat kali pertama sejak muncul juara pada edisi 1966.
Sementara itu, Argentina memburu penampilan ketiga di pentas final dalam tempoh empat edisi terakhir, selain berpeluang muncul negara pertama mempertahankan kejuaraan Piala Dunia sejak Brazil melakukannya pada 1962.
Menurut Messi, skuad Albiceleste masih dahagakan kejayaan meskipun sudah bergelar juara dunia.
"Skuad ini tidak pernah penat mencipta sejarah. Mereka sentiasa inginkan lebih lagi.
"Bukan mudah untuk bergelar juara dunia dan terus bertanding pada tahap tertinggi sehingga kembali ke separuh akhir," kata pemain berusia 39 tahun itu.
Perlawanan itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi kali pertama Messi beraksi menentang skuad kebangsaan England sepanjang karier antarabangsanya.
Kedua-dua pasukan mara ke separuh akhir selepas melalui laluan yang mencabar.
Argentina terlebih dahulu menewaskan Cape Verde 3-2 menerusi masa tambahan sebelum mengatasi Mesir dengan keputusan sama dan menumpaskan Switzerland 3-1, meskipun lawan beraksi dengan 10 pemain.
Walaupun rentetan jaringan Messi dalam sembilan perlawanan berturut-turut berakhir ketika menentang Switzerland, Argentina masih mengekalkan rekod cemerlang tanpa kalah dalam 12 aksi Piala Dunia sejak tewas kepada Arab Saudi pada edisi 2022.
England pula membuka kempen dengan kemenangan 4-2 ke atas Croatia sebelum bangkit menewaskan DR Congo 2-1 hasil dua gol Harry Kane.
Mereka kemudian mengatasi Mexico 3-2 walaupun beraksi dengan 10 pemain, sebelum Bellingham sekali lagi muncul wira menerusi dua gol, termasuk jaringan kemenangan dalam masa tambahan ketika menewaskan Norway 2-1 pada suku akhir di Miami.
Penjaga gol England, Jordan Pickford, mengakui ancaman Argentina tidak hanya bergantung kepada Messi semata-mata.
"Kita semua tahu betapa hebatnya Messi, tetapi kita juga tahu kekuatan Argentina secara keseluruhan. Kami tidak boleh hanya fokus untuk menyekat Messi," katanya.
Dari segi pengalaman, Argentina dilihat memiliki kelebihan apabila purata umur kesebelasan utama mereka ketika menentang Switzerland melebihi 30 tahun.
Sebaliknya, England tampil dengan barisan lebih muda apabila purata umur pemain utamanya ketika menewaskan Norway adalah 26.6 tahun.
Bagaimanapun, skuad kendalian England itu berdepan sedikit kebimbangan menjelang aksi separuh akhir apabila pemain tengah, Declan Rice, dilaporkan mengalami masalah kesihatan.
Kali terakhir England dan Argentina bertemu adalah dalam aksi persahabatan pada November lalu.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back