ASUNCION - Senator Paraguay, Celeste Amarilla, sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila meneruskan pertelingkahan terbukanya dengan penyerang Perancis, Kylian Mbappe, susulan penyingkiran Paraguay daripada saingan Piala Dunia.
Pertikaian itu bermula selepas Perancis menewaskan Paraguay 1-0, sekali gus menamatkan kemaraan wakil Amerika Selatan itu dalam kejohanan berkenaan.
Sejurus tamat perlawanan, Amarilla memuat naik beberapa hantaran di media sosial yang menyasarkan Mbappe. Dalam kenyataannya, beliau menggelar pemain itu sebagai "kejam" selain mengeluarkan kenyataan berbaur kontroversi mengenai latar belakang pemain berkenaan.
Mbappe kemudian membalas kritikan tersebut menerusi platform X dengan menyifatkan Amarilla sebagai individu yang tidak layak memegang jawatan senator.
"Madame Celeste Amarilla, anda adalah wanita yang keji yang tidak layak untuk jawatan anda. Anda tidak mewakili Paraguay, sebuah negara yang telah memancarkan semangat dan penghormatan sepanjang keseluruhan pertandingan," kata Mbappe.
Beliau turut menyatakan bahawa polemik berkenaan telah menenggelamkan pencapaian cemerlang skuad Paraguay sepanjang kempen Piala Dunia.
Bagaimanapun, Amarilla enggan berundur daripada pendiriannya. Dalam satu kenyataan kepada media serta sidang akhbar yang diadakan selepas itu, beliau sekali lagi mengkritik Mbappe dan mendakwa telah menghantar sepucuk surat dalam bahasa Perancis serta Sepanyol kepada pemain tersebut.
"Biar dia membaca surat saya. Saya menulisnya dalam bahasa Perancis dan Sepanyol. Jika dia boleh membacanya, saya memberitahunya supaya berhati-hati dengan orang Paraguay," katanya.
Amarilla turut mengungkit kes membabitkan bekas bintang Brazil, Ronaldinho, yang pernah ditahan di Paraguay pada 2020.
"Mbappe, jangan main-main dengan orang Paraguay. Kami pernah memenjarakan Ronaldinho di sini kerana salah guna kuasa. Jangan pandang rendah saya," katanya.
Beliau merujuk kepada insiden pada Mac 2020 apabila Ronaldinho dan abangnya ditahan di Lapangan Terbang Asuncion selepas didapati memasuki Paraguay menggunakan dokumen perjalanan palsu. Kedua-duanya kemudian ditahan selama beberapa bulan sebelum kes itu diselesaikan.
Menurut Amarilla, pertikaian dengan Mbappe kini bukan lagi bersifat peribadi, sebaliknya melibatkan isu yang lebih besar.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengkritik badan induk bola sepak dunia dan Amerika Selatan dengan mendakwa kedua-dua organisasi itu cuba mempengaruhi perkara yang berkaitan dengan politik.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back